Bila Anak Berebut Barang, Jangan Guna Alasan Sulung Kena Mengalah Dengan Bongsu. Nanti...
Konsep abang atau kakak perlu mengalah dengan si adik ini sebenarnya boleh memberi kesan dari sudut psikologi kepada anak yang lebih tua.
Biasalah kalau dah adik-beradik, pasti akan bergaduh di antara satu sama lain
Lebih-lebih lagi pada usia muda, meskipun rapat, namun mesti akan ada masa di mana adik-beradik ini akan mula bergaduh disebabkan berebut barang seperti permainan.
Bila sudah berebut itu, mulalah riuh satu rumah sampai terjerit-jerit adik-beradik ini. Akhir sekali, sudah tentu akan ada yang menangis dan bermasam muka.
Tapi perasan tak, bila insiden seperti ini berlaku, selalunya ibu bapa akan menyuruh anak yang lebih tua untuk mengalah kepada yang lebih muda.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah mengeluarkan satu statement yang wajar dijadikan perbualan lebih-lebih lagi buat para ibu bapa
Menerusi tweet yang dikeluarkan @SyedZairul, dia mengatakan bahawa konsep abang atau kakak perlu mengalah dengan si adik yang biasa diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa masa kini tidak wajar dipraktikkan kerana ia boleh memberi kesan dari sudut psikologi kepada anak yang lebih tua.
Bahkan, adalah lebih baik sekiranya anak yang lebih muda diajar untuk menghormati hak kakak atau abangnya dan meminta kebenaran untuk memperoleh barangan mereka terlebih dahulu.
Meskipun perkara ini tampak ringan namun konsep mengalah sebenarnya boleh memberi kesan kepada kakak atau abang seperti menerap rasa dengki serta iri hati sesama adik-beradik. Perkara ini juga dikhuatiri boleh berbekas hingga ke usia dewasa.
Oleh itu, pendekatan yang lebih bersopan santun serta bersifat adil lebih wajar diterapkan oleh ibu bapa kepada semua anak-anak.
Ternyata ramai warganet bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Syed Zairul
Menerusi tinjauan di laman Twitter, warganet mula berkongsikan pengalaman serta pendapat mereka perihal perkara ini. Mereka merasakan amalan mengalah ini bukan sahaja tidak adil bahkan boleh mengeruhkan hubungan sesame adik-beradik.
Antara komen yang dikongsikan warganet:
Konsep mengalah ini lebih teruk jika terkena pada anak tengah. Jangan disebabkan ini, boleh melahirkan pula 'middle-child-syndrome'.
Barangkali perbincangan tentang topik ini boleh membuatkan kita pilih untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk anak-anak kita nanti. Seperti yang dilakukan ibu bapa warganet ini.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita lebih-lebih lagi para ibu bapa.
Ingat, anak-anak itu amanah, oleh itu, jagalah mereka sebaik dan seadilnya.