Konsert Terunggul Afgan & Ungu, Pengubat Kerinduan Peminat Di Malaysia
“Ini adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat satu pentas sama Ungu. Saya sangat menghargainya." - Afgan
Kerinduan peminat-peminat Afgan dan Ungu terubat apabila dua nama besar ini berganding di atas pentas yang sama di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor, Jumaat lalu
Konsert yang bermula lebih kurang jam 9 malam itu memperdengarkan 12 buah lagu dari Afgan dan 10 buah lagu dari kumpulan Ungu.
Ini adalah konsert pertama membabitkan lima ahli Ungu selepas kali terakhir beraksi Februari lalu.
Walaupun kumpulan Ungu yang dianggotai Pasha selaku vokalis, Makki (bass), Enda (gitar), Onci (gitar) dan Rowman (dram) dilihat semakin jarang beraksi di atas pentas, namun persembahan mereka masih kekal hebat seperti biasa.
Pasha kelihatan sangat bersahaja sewaktu membuat persembahan. Dia juga sesekali membuat lawak spontan di atas pentas untuk menghiburkan penonton.
Menurut laporan Sinar Online, bagi Ungu, Malaysia bukan lokasi baru malah menganggap negara ini umpama kampung mereka kerana selalu berulang-alik ke sini.
“Kita juga gembira dengan kehadiran peminat baru,” kata Pasha kepada media selepas konsert tamat.
Idayu, perserta AF Megastar turut membuat penampilan istimewa dalam persembahan lagu "Tercipta Untukku" bersama Pasha Ungu yang mana menambahkan lagi warna dalam konsert tersebut.
Walaupun baru tiba dari Korea, persembahan Afgan juga seperti biasa tidak kurang hebatnya bagaikan tiada riak penat pada wajah beliau
Beliau membawakan lagu-lagu lama miliknya termasuk lagu baru berjudul "X" gandingan beliau bersama artis Malaysia Sonaone.
Beliau membuai perasaan peminat melalui lagu Terima Kasih Cinta, Cinta Dua Hati, Jodoh Pasti Bertemu dan Percayalah walaupun secara medley.
Menghimpunkan lebih 10 lagu popular mereka, Afgan turut berduet dengan Ungu menerusi lagu Cinta Yang Lain.
“Ini adalah satu penghormatan buat saya kerana dapat satu pentas sama Ungu. Saya sangat menghargainya,” katanya.
Nampaknya, konsert yang dibawakan oleh Popcorn Studio Sdn Bhd ini berjaya memukau lebih 5,000 peminat setia mereka.