Langgar Lampu Merah Dan Rempuh Pejalan Kaki, Penunggang Motosikal Diburu Polis
Jangan ingat boleh lepas ya.
Seorang akauntan berusia 42 tahun patah dua batang gigi dan lebam di dahi selepas dirempuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian langgar lari di Sungai Nibong, Pulau Pinang
Kejadian yang berlaku pada jam 6.50 petang Isnin lalu di Jalan Sultan Azlan Shah itu dapat dirakam kamera litar tertutup dan video berdurasi 29 saat itu menjadi viral di media sosial.
Difahamkan juga, penunggang motosikal tersebut telah melanggar isyarat lampu merah dan hanya berhenti sebentar untuk melihat mangsa sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
"Saya tercampak semeter ke depan. Saya takut nak membayangkan apa yang akan berlaku jika kanak-kanak yang dilanggar.
"Dia menunggang dengan laju, langsung tidak memberi perhatian terhadap pelajar-pelajar sekolah yang selalu menggunakan lintasan pejalan kaki itu," kata mangsa yang enggan namanya didedahkan.
Beberapa orang pemandu kereta juga kelihatan tidak berhenti dan membantu mangsa yang tercampak selepas dirempuh motor terbabit.
Mangsa yang dikatakan dalam perjalanan untuk menjemput anaknya dari sekolah berusaha untuk bangun sendiri dan berjalan dalam keadaan yang sakit sebelum diberi bantuan dari ibu bapa dan pengawal keselamatan sekolah anaknya.
Ekoran kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab penunggang motosikal berkenaan, mangsa membuat laporan polis.
Laporan daripada Harian Metro mengatakan pihak polis kini sedang memburu penunggang motosikal terbabit dan orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau balai polis berhampiran.
Video kejadian yang dirakam kamera litar tertutup: