seismik

Wanita Bertudung Dilarang Bekerja Bahagian 'Frontdesk' Di Hotel Antarabangsa Di Malaysia

Ia telah diamalkan sejak 10 tahun lalu.

Cover image via nevistas.com

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat aduan daripada kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung mereka

Memetik laporan Astro Awani, larangan yang sama turut dikenakan pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka cuba memohon latihan amali.

Disebabkan itu, sesetengah pekerja tidak mempunyai pilihan selain menanggalkan tudung mereka semasa bekerja dan memakainya semula selepas waktu kerja.

Bagaimanapun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa dan digunapakai sekian lama.

Presidennya Cheah Swee Hee berkata, setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia mempunyai standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

"Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing. Jadi, ada banyak hotel juga menerima mereka yang berhijab.

"Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamophobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” katanya.

Beliau menambah, terdapat banyak peluang pekerjaan lain untuk pekerja Islam termasuk bekerja di bahagian belakang atau memilih untuk bekerja dengan hotel yang menggabungkan tudung dalam pakaian seragamnya

Masalahnya apabila semua orang mahu menyertai jenama hotel global 5 bintang, tetapi mereka tidak mahu mengikut dasar seragam yang merupakan standard di seluruh dunia, " katanya seperti yang dilaporkan The Star baru-baru ini.

Isu itu juga telah mendapat perhatian Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mendesak kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan agar menarik balik lesen hotel yang melaksanakan polisi melarang wanita bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberitahu bahawa kerajaan perlu tegas dalam perkara ini bagi memastikan tiada syarikat yang mengenakan polisi bersifat diskriminasi terhadap amalan agama.

“Jika sememangnya larangan pekerja bertudung merupakan polisi syarikat terutamanya hotel antarabangsa, kementerian pelancongan harus mempertimbangkan untuk menarik kembali lesen mereka untuk beroperasi.

“Kerajaan harus jawab bagaimana mereka membenarkan hotel antarabangsa untuk melakukan diskriminasi terhadap amalan agama," Nurul Izzah dipetik sebagai berkata oleh The Malaysian Insight.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku di negara ini yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, lapor Astro Awani

Beliau menganggap, larangan terhadap wanita muslimah memakai tudung sekalipun hanya waktu mereka bertugas adalah suatu tindakan yang boleh dilihat mencabar sensitiviti umat Islam.

Beliau sendiri tidak pernah melihat larangan serupa ketika berada di luar negara.

"Umat Islam sendiri tidak bebas untuk mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedang hotel-hotel tersebut beroperasi dalam negara ini," katanya.


Dalam pada itu, Presiden The International Women’s Alliance for Family and Quality Education (WAFIQ), Dr Rafidah Hanim Mokhtar memaklumkan pihaknya menerima empat aduan secara langsung dan puluhan rintihan di laman Facebooknya

“Ia adalah diskriminasi terhadap masyarakat kita dalam pengambilan kerja mahupun latihan amali. Saya akan panjangkan hal ini diperingkat kementerian,” katanya melalui WhatsApp kepada The Malaysian Insight.

Syukri, seorang pengurus banquet hotel di Kuala Lumpur mengakui amalan larangan bertudung sudah berlaku sejak 10 tahun lalu.

"Masa saya kerja di sebuah hotel di KL. Saya jadi ketua banquet, memang pekerja tak dibenarkan pakai tudung sebab untuk tarikan pelanggan.

"Kalau ada yang memohon kerja sebagai pelayan, dikenakan syarat tidak boleh memakai tudung. Bagi mereka memakai tudung bukanlah fesyen dan tiada tarikan,” katanya yang enggan memberikan nama penuh.

Gambar sekadar hiasan.

Image via storydyla.blogspot.my

Tidak tahan dengan perkara itu, beliau sejak tiga tahun lalu bertukar ke hotel yang tidak mengamalkan diskriminasi tersebut.

Syukri menjelaskan isu larangan bertudung selalunya melibatkan pekerja operasi makanan (pelayan) dan barisan hadapan hotel seperti penyambut tetamu.

Sementara itu, Farisha yang bertugas sebagai penyambut tetamu di hotel lima bintang di Putrajaya berkata tidak mempunyai pilihan selain membuka tudung.

“Dulu memang saya tidak bertudung semasa mula-mula kerja. Tetapi selepas mempunyai anak, saya mula berhijab. Tetapi untuk berada di frontliner (penyambut tetamu) hotel ini memang tidak boleh bertudung.

“Sekarang, lepas balik kerja, saya akan pakai tudung. Hanya semasa bekerja sahaja saya tidak memakainya. Apa nak buat sekarang ini kerja pun susah nak cari.

“Alasan yang selalu diberi adalah kerana imej hotel antarabangsa,” kata Farisha yang sudah setahun bekerja di Putrajaya.

Jadi, apa kata anda? Kongsikan pandangan anda di ruang komen di bawah!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Baca lebih banyak artikel menarik di SINI: