Lelaki Dihukum Penjara 280 Tahun & 180 Sebatan Atas Pertuduhan Rogol Anak Kandung Sendiri

Difahamkan, kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Abdul Rahemang Taiming & FMT

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Mahkamah Sesyen Tawau di Sabah hari ini, 21 Julai, menjatuhkan hukuman penjara 105 tahun dan 70 kali sebatan ke atas seorang bapa atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya antara Disember 2025 hingga 19 Mac lalu

Menerusi laporan Harian Metro, Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman terbabit terhadap lelaki berusia 53 tahun yang juga seorang guru di sebuah pusat tuisyen di Lahad Datu selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikemukakan secara berasingan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan, dengan pelaksanaan jumlah sebatan terhad kepada 24 kali sebatan sahaja, mengambil kira peruntukan Seksyen 288(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Pada prosiding 6 Mei lalu, tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di Tawau, bermula Disember tahun lalu dengan kejadian terakhir pada 18 dan 19 Mac lalu. Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Tertuduh berkata dalam rayuannya berasa sangat malu dan takut dengan apa yang berlaku serta menerima hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

"Saya benar-benar bertaubat dan sangat menyesal. Mudah-mudahan saya menjadi orang terakhir yang melakukan perkara seperti ini, selain berharap diberi peluang sekiranya dibebaskan kelak untuk bertemu anak-anak serta keluarga bagi memohon maaf kepada mereka," katanya.

SAYS.com
Image via Abdul Rahemang Taiming

Pihak Pendakwaan berhujah ada faktor pemberat wajarkan hukuman maksimum 280 tahun penjara dan 180 sebatan

Pihak Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly berhujah bahawa beberapa faktor pemberat mewajarkan hukuman maksimum terhadap tertuduh, termasuk kesalahan seksual paling serius kerana melakukan rogol terhadap anak kandung sendiri.

Menurutnya, perbuatan tertuduh bukan sahaja mencabuli maruah mangsa, malah memusnahkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan seorang anak.

Pendakwaan turut berhujah dalam kes ini kejadian rogol bermula sejak mangsa berusia 16 tahun lagi dan terdapat unsur perancangan apabila tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa, meminta mangsa menempah bilik hotel dan sanggup bergerak dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan berkenaan.

Mahkamah turut diberitahu tertuduh sebelum ini mengaku salah terhadap 11 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Lahad Datu mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan 165 tahun penjara dan 110 sebatan.

Dengan keputusan Mahkamah Sesyen Tawau semalam, tertuduh kini berdepan keseluruhan hukuman 280 tahun penjara dan 180 sebatan selepas mengambil kira hukuman yang dijatuhkan bagi kes terdahulu di Mahkamah Sesyen Lahad Datu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: