"Jangan Hina Kerjaya Seni" - Pernah Diperlekeh, Guru Ini Buktikan Seni Mampu Bawa Kejayaan

"Saya agak kecewa mengapa masih ramai mentaliti yang memperlekehkan bidang seni." - Sir Hafiz Hassan.

Bidang Seni Lukis dan Seni Reka memainkan peranan yang penting dalam kalangan masyarakat. Malah, ianya kini semakin berkembang dalam dunia komersil dan bidang kreatif juga semakin mencabar.

Pereka dan pelukis pada hari ini dan di masa hadapan bakal berhadapan dengan perubahan keperluan dari persekitaran pasaran dan teknologi maklumat.

Golongan ini juga berkemampuan untuk menjana idea kreatif dan inovatif bagi memenuhi permintaan masyarakat yang akan semakin mencabar di masa akan datang.

Namun, memandangkan teknologi dan media kian berkembang, graduan Seni Lukis dan Seni Reka perlu dilengkapkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka supaya mereka akan menjadi lebih cekap dalam menyelesaikan sesuatu tugasan.

Graduan ini juga perlu dilengkapi dengan kemahiran kritikal, analitikal dan kreatif untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin pesat berubah.

Gambar sekadar hiasan.

Image via Selangor Kini

Sebab itulah anda jangan mudah untuk memperlekehkan kerjaya seni.

"Jangan pernah hina kerjaya seni"

Kata-kata itu diluahkan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Apizz Hassan. Dia telah menulis satu perkongsian tentang kisah perjalanan dan perjuangannya untuk mencapai kejayaan yang diperoleh sehingga kini. Malah, dia juga sudah bergelar seorang pendidik di sebuah sekolah berasrama.

Menurut penceritaannya, ramai individu dikenali turut memperlekehkan bidang yang dipilih iaitu Seni Reka dan Seni Lukis. Namun, dia telah menetapkan bahawa dirinya mampu untuk berjaya dan melangkah lebih jauh dengan tidak menghiraukan kata-kata orang lain.

Sir Hafiz Hassan

Image via Apizz Hassan / Facebook

Perkongsian ini sedikit sebanyak mampu untuk dijadikan sebagai pengajaran untuk para pelajar atau lepasan SPM di luar sana yang masih keliru untuk memilih jenis bidang pengajian yang ingin dilanjutkan.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Berikut merupakan kejayaan Hafiz bermula dari SPM.

Sungguh mengagumkan!

Sebelum itu, saya kongsikan dahulu kejayaan saya sehingga saya dapat menggenggam segulung ijazah sarjana dan Anugerah Naib Censelor serta dinobatkan pelajar terbaik dan mendapat Masters Excellence Awards. Dan kini saya jugak seorang pendidik di boarding school.

Ingin saya kongsikan tentang latar belakang pendidikan saya bermula dari SPM. Saya telah mengambil kesemua subjek sains seperti Fizik, Kimia dan Biology. Bukan itu sahaja, saya turut mengambil satu lagi subjek tambahan Pendidikan Seni.

Alhamdulillah, result SPM saya lulus kesemua mata pelajaran dan ketika fasa itu saya dalam dilema untuk memilih jurusan bidang pengajian.

Tatkala rakan yang lain melanjutkan pelajaran ke matrikulasi dan program asasi, dia telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Seni Reka dan Seni Lukis

Ramai diantara rakan-rakan saya yang melanjut pelajaran ke matrikulasi dan program asasi. Setelah berbincang dengan keluarga dan guru-guru saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang diploma Seni Lukis & Seni Reka. Namun, ramai juga pertikaikan keputusan yang saya telah pilih. Saya agak kecewa kenapa masih ramai mentaliti yang memperlekehkan bidang seni.

Terdapat beberapa kata-kata mereka yang hingga kini bermain difikiran saya, namun ketika itu saya hanya berdiam diri tidak mampu membalas kerana ketika itu saya masih mentah dan baru sahaja selangkah untuk mengatur hidup. 

Sekarang! Saya akan jawab kesemua persoalan mereka. Bukan marah tapi ini sebagai pedoman dan teladan untuk orang-orang yang selalu ketepikan subjek Art.

"Memang nak ambik seni ke? Nanti nak lukis muka-muka orang tepi jalan tu ke?"

Inilah mentaliti orang sekarang yang selalu meletakkan subjek seni sebagai subjek yang tiada masa depan. Untuk pengetahuan, individu berseni ini sangatlah gifted sebab kami ini ada sedikit kelebihan yang orang lain tiada. Kelebihan kami sepatutnya dihargai dan diberi peluang untuk kami terus berekspresi dalam berkarya.

Percaya atau tidak, jika anda menonton tv bersama orang yang menghargai seni, kami bukan sahaja menonton semata-mata, pandangan kami berbeza dengan anda. Kami akan menilai setiap keperincian dari kualiti resolution rancangan tersebut sehinggalah ke design baju, background, aksesori, make up, dan set rancangan tersebut.

"Kenapa tak nak ambil aliran sains? Nanti boleh jadi doctor."

Saya ambik seni sebab saya nak negara kita berada setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Kita bangga pakai produk dan kereta import, tapi kita tak pernah berusaha nak capai setaraf dengan mereka. Untuk pengetahuan, negara kita ketandusan designer dan artist yang berkualiti menyebabkan produk-produk yang dihasilkan oleh negara kita tidak menjadi kebanggaan seperti produk dari negara luar.

Tengoklah bila hujung minggu, penuh beratur di gedung perabut ‘biru kuning’ itu sebab nak beli produk buatan ‘Sweden’ yang hanya berkonsepkan minimalist dan ringkas. Sedangkan Negara kita jauh lebih hebat dengan penghasilan perabot ukiran dan sebagainya. Cuma masih belum diketengahkan dengan baik untuk mendapat daya tarikan pengguna.

"Seni? Kos lelong, keluar takde kerja, takde masa depan"

Meh nak sebut pasal kos lelong ni. Buat masa sekarang, perkataan ‘kos lelong’ tu dah boleh dikuburkan kot. Ya lah, semua kena faham, setiap kos ada kelebihan dan peluang kerja masing-masing. Cuma rezeki kita ja yang menentukan sama ada kita akan bekerja sebidang dengan kos yang kita belajar atau tak. Dulu org kata kos saya keluar ja menganggur. Kini saya boleh buktikan, kenalan saya yang memilih bidang ini mampu hidup untuk menjalankan perniagaan sendiri. Maka, bila ada ilmu seni yang betul, maka hasil dan produk yang dijual sangat menarik dan berkualiti.

Dan kini, kenapa saya memilih untuk menjadi pendidik, sebab saya nak buktikan pada golongan muda bahawa subjek seni merupakan subjek yang mempunyai masa depan. Inshallah saya akan mengeluarkan produk ‘pelajar’ yang berkualiti dan bermutu tinggi dalam menghasilkan karya pada masa akan datang.

Kepada ibu bapa diluar sana, janganlah halang kreativiti anak-anak anda dan janganlah pernah memandang rendah terhadap subjek seni. Sebenarnya bidang seni ini sangatlah luas. Antaranya, seni halus, pendidikan, seramik, fasyen, seni reka perindustrian, textile, fotografi, filem animasi, multimedia design, grafik, fine metal, pencetakan dan banyak lagi.

Semoga perkongsian ini mampu untuk membuka mata orang ramai di luar sana. Jurusan ini tidak seharusnya dipandang sebelah mata kerana terbukti ianya mampu untuk melakar masa depan generasi muda.

Terbaiklah, Sir Hafiz Hassan!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Leave a comment