Lelaki Jepun Kagum Harga Minyak Sama Di Semua Stesen – “Jepun Patut Belajar Dari Malaysia”
Di Jepun, harga minyak boleh berbeza walaupun sebelah-sebelah.
Cover image via @keisanjpmy (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bagi rakyat Malaysia, melihat harga minyak yang sama di hampir semua stesen mungkin perkara biasa
Tak kisahlah di PETRONAS, Shell, Petron atau BHP, harganya tetap sama kerana ia ditetapkan kerajaan bagi bahan api tertentu.
Namun bagi seorang lelaki dari Jepun, sistem ini rupanya sesuatu yang cukup mengagumkan.
Menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram, lelaki dikenali sebagai @keisanjpmy berkata Malaysia mempunyai satu kelebihan yang patut dicontohi oleh negaranya sendiri.

Di Jepun, harga minyak boleh berbeza walaupun sebelah-sebelah
Menurutnya, situasi di Jepun jauh berbeza apabila setiap stesen minyak boleh menawarkan harga berbeza walaupun terletak di jalan yang sama.
Disebabkan itu, ramai pemandu sanggup beratur panjang di stesen yang menawarkan harga lebih murah sehingga menyebabkan kesesakan.
Lebih mengecewakan, stesen minyak di lebuh raya pula boleh menjual bahan api pada harga lebih tinggi kerana pengguna tidak mempunyai banyak pilihan.
Katanya, keadaan itu membuatkan orang ramai sentiasa perlu mencari stesen dengan harga paling murah setiap kali mahu mengisi minyak.
"Sebab itu saya rasa Jepun patut belajar daripada Malaysia," katanya.


Hormat sistem subsidi Malaysia walaupun bayar harga pasaran
Apa yang lebih menarik perhatian, lelaki itu turut memuji sistem subsidi bahan api di Malaysia. Menurutnya, dia menghormati usaha kerajaan memastikan rakyat tempatan menikmati harga yang lebih berpatutan.
Sebagai warga asing, dia mengakui perlu membayar harga pasaran dan menganggap perkara itu adil kerana memilih untuk tinggal di Malaysia atas kehendaknya sendiri.
Walaupun berseloroh mengatakan dia sedikit cemburu melihat rakyat Malaysia menikmati harga lebih rendah, dia tetap berpendapat sistem tersebut wajar dipuji.
Baru sedar Malaysia sebenarnya bertuah

Lelaki itu turut berkongsi bahawa harga minyak di Jepun kini sekitar RM4.30 hingga RM5 seliter, sekali gus membuatkannya lebih menghargai kelebihan yang dinikmati di Malaysia.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen Malaysia dan Jepun. Ramai bersetuju setiap negara mempunyai kelebihan masing-masing.
Ada yang mengakui Malaysia bertuah dari segi harga bahan api, manakala Jepun pula mempunyai sistem pengangkutan awam yang jauh lebih cekap sehingga ramai penduduk tidak terlalu bergantung kepada kenderaan sendiri.
Apa pun, perkongsian ini membuatkan ramai rakyat Malaysia melihat semula perkara yang sering dianggap remeh. Kadang-kadang, apa yang kita anggap biasa sebenarnya merupakan satu kelebihan yang cukup dihargai oleh orang luar.
Lihat video penuh di sini:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


