Mahkota Kesultanan Kelantan Usia 100 Tahun Bukti Kehalusan Seni Pertukangan Tempatan
Difahamkan, pahar untuk meletakkan mahkota itu pula diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah mahkota kebesaran Kelantan dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu masih dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 100 tahun
Menerusi laporan Bernama, mahkota itu akhirnya telah dipamerkan kepada umum buat pertama kali sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, yang berlangsung dari 16 Ogos lalu hingga Sabtu lepas.
Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail berkata mahkota itu diilhamkan Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan dari 1920 hingga 1944 dan mula digunakan pada 28 April 1921 sempena istiadat pertabalan baginda.
Katanya pada istiadat berkenaan, mahkota itu dipakaikan kepada Sultan Ismail oleh Tengku Temenggung Abdul Ghaffar ibni Almarhum Sultan Muhammad II, sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Kesultanan Kelantan.
"Keunikan mahkota ini ialah ketika kebanyakan negeri membuat mahkota kebesaran di England, mahkota Kelantan pula dihasilkan oleh tukang Melayu Kelantan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu.
"Ia memperlihatkan kemahiran pertukangan emas masyarakat tempatan pada ketika itu yang mampu menghasilkan alat kebesaran diraja dengan nilai seni yang tinggi," katanya.

Pada asalnya hanya diperbuat daripada 16 bungkal emas sepuluh serta ukiran motif daun 'dala' muda, selain lambang bulan sabit dan bintang berujung lima di bahagian atasnya yang beralaskan baldu biru raja
Mahkota berkenaan kemudian melalui proses penambahan oleh Sultan-sultan Kelantan berikutnya, termasuk 470 butir berlian dan 52 butir zamrud dan delima ketika pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, manakala 721 butir berlian dan 44 butir zamrud ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.
"Mahkota ini satu-satunya mahkota bagi Kesultanan Kelantan dan biasanya hanya dibawa keluar untuk diletakkan di sebelah kanan singgahsana ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan, jadi bukan semua orang berpeluang melihatnya secara dekat," kata Mohamed Safaruddin.
Menurutnya lagi pemilihan mahkota sebagai tarikan utama festival tahun ini turut mengambil kira sambutan orang ramai terhadap pameran alat kebesaran Kesultanan Kelantan sebelum ini, termasuk keris Tok Chu bersama Sampir Kuseriwa pada 2024 dan artifak ufti diraja Bunga Emas pada tahun lepas.
Beliau berkata, pahar untuk meletakkan mahkota itu pula diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram.
"Sepanjang festival, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan membabitkan anggota keselamatan awam," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via