Mangsa Keganasan Rumah Tangga Boleh Dapatkan Perintah Perlindungan Tanpa Laporan Polis
EPO merupakan salah satu daripada tiga bentuk perlindungan undang-undang yang tersedia untuk mangsa keganasan rumah tangga.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa perlu membuat laporan polis terlebih dahulu, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
Menurut Bernama, Timbalan Menteri KPWKM, Lim Hui Ying, menyatakan bahawa EPO merupakan salah satu daripada tiga bentuk perlindungan undang-undang yang tersedia untuk mangsa keganasan rumah tangga.
Dua lagi bentuk perlindungan tersebut ialah Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO), yang dikeluarkan oleh mahkamah dan memerlukan laporan polis sebelum ia boleh diperoleh.

Lim berkata mangsa yang telah terlepas daripada keganasan rumah tangga juga perlu disokong dalam usaha membina semula kehidupan mereka dan menjadi berdikari
Beliau menyatakan bahawa pendekatan kementerian dalam menangani keganasan rumah tangga tertumpu kepada empat aspek iaitu pencegahan, perlindungan, intervensi dan pemulihan.
"Untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, program yang kita tekankan ialah pencegahan. Selepas itu, bila sudah berlaku, melindungi. Kita mesti ada intervensi dan lagi satu yang amat penting adalah pemulihan," katanya.
Lim turut menggesa orang ramai supaya menangani konflik keluarga melalui komunikasi, sikap saling menghormati dan perbincangan terbuka dan bukannya keganasan.
"Jika berlaku keganasan atau ancaman terhadap keselamatan, mangsa mesti mencari bantuan," katanya.
Beliau menambah kementerian turut bekerjasama dengan pihak polis, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat bagi menangani isu keganasan rumah tangga
Kerjasama ini dilaksanakan menerusi sebuah jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada aspek data, pendidikan, peningkatan kapasiti dan perlindungan.
Lim menyatakan bahawa anggota masyarakat, termasuk ahli keluarga dan jiran, juga memainkan peranan penting dalam membantu mangsa.
"Jiran, ahli keluarga, mesti ada konsep atau persepsi yang ini bukanlah masuk campur (urusan) keluarga orang lain. Keganasan rumah tangga adalah satu jenayah. Jadi, kita boleh buat laporan," katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Talian Kasih yang beroperasi 24 jam di talian 15999 untuk membuat laporan, mendapatkan nasihat atau mengakses perkhidmatan kaunseling psikososial. Laporan keganasan rumah tangga yang diterima melalui talian tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via