MISA, SIRIM Academy & SRC Meterai MoU Lahirkan Tenaga Mahir Dalam Sektor Minyak & Gas
Pihak MISA mensasarkan untuk melahirkan seramai 200 orang graduan NDT-RT pada tahun ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysian Industrial Skills Academy (MISA) mengorak langkah besar dalam melahirkan tenaga mahir untuk bidang Non Destructive Testing – Radiography Testing (NDT-RT) bagi sektor minyak dan gas dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SIRIM Academy dan SRC Global Resources baru-baru ini
Kerjasama strategik ini menyediakan satu ekosistem lengkap. Selain membangunkan program latihan dalam bidang NDT-RT yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa, mengintegrasikan piawaian SIRIM ke dalam program latihan mengikut kehendak pasaran, kerjasama ini juga memastikan graduan mendapat penempatan kerja di syarikat- syarikat terkemuka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Patimah Hussin, bidang NDT-RT menjadi tulang belakang dalam memastikan kestabilan rangkaian, terutama dalam menangani cabaran teknikal seperti gangguan sistem atau pembinaan infrastruktur baharu.
"Program latihan NDT-RT ini akan melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang minyak dan gas. Sekali gus meningkatkan produktiviti dan daya saing juga menyumbang kepada ekonomi negara.
"Pihak kami mensasarkan untuk melahirkan 200 orang graduan NDT-RT pada tahun ini. Durasi latihannya selama sebulan dan setiap sesi hanya diperuntukkan untuk 20 orang pelajar sahaja mengikut piawaian yang ditetapkan," ujar Siti Patimah pada majlis menandatangani MoU di Auditorium SIRIM baru-baru ini.
Program latihan yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) itu terbuka kepada belia berusia 18 sehingga 35 tahun
Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy, Nik Sazali Nik Hussin berkata, tidak hanya untuk lepasan SPM, program latihan ini turut terbuka kepada pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran dalam bidang pekerjaan mereka.
Dalam pada itu, Pengarah SRC Global Resources, Dato’ Norhisham Mohd. Arifin menjelaskan tahun ini pihaknya mensasarkan 3,000 penempatan pekerjaan dalam pelbagai posisi sektor minyak dan gas.
"Sektor minyak dan gas antara yang memerlukan pekerja mahir dalam jumlah yang agak ramai kerana industri ini sentiasa berkembang. Pelajar yang mendaftar dengan program NDT-RT ini tidak perlu gusar kerana mereka pasti akan dapat kerja menerusi penempatan pekerjaan oleh SRC," katanya.
Sebagai usaha memperkasakan tenaga kerja mahir tempatan, MISA turut melancarkan Pusat Latihan Teknikal MISA (MISA TTC) yang akan menjadi pusat latihan bertaraf global dalam menyediakan program kemahiran tinggi bagi sektor minyak & gas (O&G) serta teknologi dron.
MISA TTC adalah satu langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem latihan teknikal di Malaysia. Melalui kursus jangka pendek yang relevan, peluang memperoleh lesen profesional dan penempatan pekerjaan yang dijamin MISA TTC berfungsi sebagai jambatan antara pendidikan teknikal dan peluang kerjaya.
Sementara itu, pempengaruh terkenal Al Ahmad Shah atau lebih dikenali sebagai CEO Kapal yang dilantik sebagai Ikon Pelaut MISA turut menegaskan bidang minyak dan gas memiliki masa depan yang cerah.
"Industri minyak dan gas semakin berkembang dan tenaga mahir bukan sahaja diperlukan di Malaysia, tetapi juga luar negara. Industri ini sememangnya menjamin masa depan kerana kepakaran yang dimiliki mampu menjana pendapatan yang lumayan," ujar CEO Kapal yang berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang perkapalan.
Buat mereka yang berminat untuk menceburi bidang NDT-RT dan pelbagai program lain yang ditawarkan oleh MISA, anda boleh layari laman web, www.yegmy.com.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!