Nepal Henti SAR Banjir Bhotekoshi-Trishuli, 54 Rakyat Malaysia Masih Dilaporkan Hilang
Difahamkan, 5,285 individu dilaporkan masih hilang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Nepal buat keputusan menghentikan fasa mencari dan menyelamat mangsa banjir dahsyat di sungai Bhotekoshi dan Trishuli pada 26 Ogos lalu
Menerusi laporan Bernama, perkara itu diputuskan selepas harapan untuk menemukan mangsa yang masih hilang semakin tipis 40 hari selepas bencana terjadi.
Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana yang dipengerusikan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan usaha pembinaan semula dan pemulihan, sambil meneruskan hanya operasi mencari yang penting.
Sekretariat itu berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Keselamatan Daerah, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Jawatankuasa Eksekutif Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) serta hasil pemeriksaan di lapangan.

Seramai 1,455 orang disahkan maut, manakala 5,285 lagi masih hilang setakat 3 Oktober lepas
Mesyuarat itu turut memutuskan untuk mencadangkan peruntukan sebanyak 559.18 bilion rupee Nepal (AS$3.62 bilion) kepada Kementerian Kewangan bagi pelan dan program membina semula serta memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir dan bencana lain berkaitan musim monsun.
Dalam mesyuarat itu, Shah berkata usaha pengurusan bencana dilaksanakan melalui penyelarasan antara kerajaan persekutuan, kerajaan wilayah dan kerajaan tempatan.
Menurut beliau, usaha pembinaan semula dan pemulihan juga akan dilaksanakan menerusi mekanisme yang sama.

Dalam pada itu, nasib 54 rakyat Malaysia yang hilang masih lagi tidak diketahui
Menerusi laporan Berita Harian, jurucakap Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata pihaknya menghormati keputusan itu, namun waris mangsa masih memerlukan kepastian mengenai nasib ahli keluarga mereka.
"Perubahan fasa operasi daripada SAR kepada pemulihan perlu disusuli usaha berterusan bagi mendapatkan jawapan diperlukan keluarga.
"Kami memahami keputusan Nepal dibuat berdasarkan penilaian keadaan di lapangan, faktor keselamatan, akses dan syor pihak berkuasa berkaitan. MASFIH menghormati keputusan serta bidang kuasa Nepal," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via