*Masa terus berlalu dan saya menginjak masuk Tingkatan 4. Waktu ini, minda OCD saya mula menjadi agresif. Personaliti saya boleh bertukar menjadi ganas sekirannya diancam, termasuk sparring. Sejak dari itu saya mula menghindari aktiviti seni bela diri, kerana tak mahu cederakan orang. 2 tahun selepas itu, saya berjaya mendapat keputusan A lurus bagi SPM dan sekali lagi, minda OCD saya menyerang. Saya gagal dalam temuduga JPA ke luar negara, ditambah lagi dengan tekanan daripada orang ramai, saya akhirnya jatuh ke fasa psikosis, fasa paling teruk bagi pesakit mental. Saya tak boleh tidur sehari dan minda OCD mampu menjelma menjadi suara yang boleh didengari. Psikosis ni bukan benda kelakar. Rasa macam nak mati. Gelak sambil menangis, pada masa yang sama rasa gembira tapi murung. Semua jenis perasaan ada. Lagi teruk daripada depresi.
Selepas itu barulah saya pergi klinik psikiataris dan didiagnos mempunyai OCD. Walaupun saya sudah pulih, sudah mampu hidup tanpa ubat, kecederaan mental oleh psikosis tetap menjadi kekal. Saya sudah tak mampu nak berempati dengan manusia. Saya tak mampu bersedih, merasai dan memberi cinta, padahal itulah apa yang membuatkan manusia menjadi manusia. Saya sedikit pun tak rasa apa-apa apabila saudara dan rakan yang agak rapat dengan saya meninggal. Bagi saya, itu ialah normal. Manusia mati setiap hari. Kalau boleh, saya nak rasa sedih tapi tak boleh. Sebab itu jugalah, saya tak beberapa kisah kalau saya hidup membujang dan keseorangan sampai tua, sebab hati dah tak rasa apa-apa bila berinteraksi dengan manusia. Namun, itulah masalahnya. Tak kisahlah sejauh mana pun saya cuba hidup keseorangan, pasti ada yang akan menarik saya kembali hidup bermasyarakat walaupun saya tak ada keperluan apa apa pun dengan manusia lain. Oleh sebab itu, saya menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan, sekalipun dah tak mampu nak merasakan cinta.*