Pasport Baharu Malaysia Dilancar Jun Ini, Miliki 94 Ciri Keselamatan Berbanding 49 Pada Pasport Semasa
Malaysia turut memegang rekod proses pasport terpantas di dunia.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Imigresen (JIM) akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu dengan lebih banyak ciri keselamatan mulai 1 Jun, bertujuan memperkukuhkan keselamatan dokumen pengenalan negara
Menerusi laporan Bernama, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata pelancaran itu akan berlaku secara berperingkat, dengan pelaksanaan di seluruh negara dijangka menjelang Julai.
Pada fasa awal, empat pejabat ini akan mengeluarkan pasport baharu terlebih dahulu:
– Ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya
– Pejabat Pasport Kuala Lumpur di Jalan Duta
– Pejabat Imigresen Shah Alam
– Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju
Pelaksanaan pengeluaran PMA baharu akan dibuat secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara pada Julai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Image via New Straits TimesZakaria berkata pasport baharu itu merangkumi hampir dua kali ganda bilangan ciri keselamatan berbanding versi semasa, meningkat daripada 49 kepada 94
Antara penambahbaikan tersebut ialah hologram yang dipertingkatkan, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi dan beberapa ciri forensik khas yang sukar dipalsukan.
"Benang yang menjahit buku pasport itu pun ada ciri keselamatan, dengan setiap helaian itu berbeza-beza," katanya.
Beliau juga menggesa orang ramai agar tidak tergesa-gesa menggantikan pasport mereka, sambil menekankan bahawa pasport sedia ada masih sah dan tidak perlu diganti.
"Pasport itu sekiranya masih lagi dalam tempoh sah laku, iaitu melebihi enam bulan, mereka tidak perlu tukar sekarang kerana boleh ditukar selepas tempohnya tamat," katanya.

Permohonan untuk pasport baharu juga boleh dibuat secara dalam talian, tertakluk kepada kapasiti pejabat pasport
Beliau turut mengingatkan orang ramai yang membuat pasport secara dalam talian untuk menggunakan gambar sebenar dan tidak menggunakan gambar yang diubah suai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Saya ingin tegaskan supaya pemohon-pemohon pasport tidak menggunakan gambar dengan teknologi Al. Kita ada kesan beberapa kes, mungkin dia nak gambar cantik atau yang gelap jadi cerah, yang kurang handsome nak bagi handsome, jadi dia menggunakan AI," katanya sambil menambah pegawai Imigresen mempunyai kepakaran mengesan penggunaan gambar Al.
Pada awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.
Beliau berkata pengenalan dokumen baharu itu satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia. Untuk rekod, PMA berada di tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport berkuasa di dunia.
Malaysia jadi pengeluar pasport terpantas di dunia
Dalam pada itu, JIM dalam sebuah hantarannya di laman sosial mendedahkan Malaysia merupakan pengeluar pasport terpantas di dunia dengan proses yang hanya mengambil masa 1 jam sahaja.
JIM turut menunjukkan perbandingan antara negara-negara lain yang dilihat sangat ketara dan mengambil masa yang lebih lama untuk mengeluarkan pasport.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via