Pelakon Korea ‘Jatuh Hati’ Dengan Malaysia, Paling Suka Hidangan Mi Goreng Mamak
Antara makanan yang paling digemarinya ialah mi goreng mamak, mi tarik, nasi goreng dan nasi lemak.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pelakon Korea Selatan, Ha Ju Young atau lebih dikenali sebagai Jay H, meluahkan rasa kagum terhadap rakyat Malaysia sehingga mengakui dia sanggup menetap di negara ini jika diberi peluang

Menurut laporan Harian Metro, pelakon berusia 31 tahun yang membawakan watak antagonis Park Jae Soo dalam filem Tiket Sehala berkata, pengalaman bekerja bersama kru dan pelakon tempatan meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat dirinya.
"Sejujurnya saya memang sukakan Malaysia. Perkara pertama yang saya suka ialah orang di sini. Kalau saya boleh bagi 'rate', saya akan beri 11/10.
"Ini kali pertama saya bekerja dengan kru dan pelakon Malaysia. Mereka sangat sopan, malah pada saya mereka sedikit lebih sopan berbanding orang Korea," katanya.
Jay H berkata, layanan mesra yang diterimanya sepanjang berada di Malaysia membuatkan dia berasa seperti berada di rumah sendiri

"Saya mahu tinggal di Malaysia. Saya tak tahu kenapa, tetapi setiap orang di sekeliling saya melayan saya dengan sangat baik.
"Mungkin sebab rakyat Malaysia yang sangat baik, saya rasa lebih selesa berada di sini," katanya lagi.
Bukan sekadar jatuh hati dengan rakyat Malaysia, Jay H juga mengakui dirinya sudah terpikat dengan pelbagai hidangan tempatan.
Antara makanan yang paling digemarinya ialah mi goreng mamak, mi tarik, nasi goreng dan nasi lemak.
"Saya paling suka makan mi goreng mamak, mi tarik, nasi goreng dan nasi lemak. Bagi saya, makanan di Malaysia memang terbaik, dan saya boleh makan mi goreng mamak hari-hari," katanya.
Tiket Sehala angkat kisah benar

Dalam masa sama, Jay H berharap penonton melihat Tiket Sehala bukan sekadar sebuah filem aksi atau jenayah pemerdagangan manusia, tetapi turut memahami mesej kemanusiaan yang ingin disampaikan.
"Saya berharap penonton dapat melihat sisi kemanusiaan di sebalik kisah gelap yang dipaparkan dalam filem berkenaan," katanya.
Untuk rekod, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar dan dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Ogos nanti.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via