Pengeluaran Pasport Malaysia Tempoh Sah Laku Lebih 10 Tahun Kini Dihentikan Serta-Merta
Perkara itu akan dilaksanakan sehingga isu diselesaikan dengan syarikat penerbangan dan ICAO.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkuat kuasa serta-merta menghentikan tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) melebihi 10 tahun
Menerusi laporan Bernama, perkara itu akan dilaksanakan sehingga isu diselesaikan dengan syarikat penerbangan dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata pemegang PMA terbabit juga diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport, selain surat pemberitahuan akan dikeluarkan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara Malaysia yang terjejas di luar negara.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi masalah ketika proses daftar masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
"Bagi menangani kekeliruan ini, jabatan menetapkan bahawa tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.
"Penetapan ini bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Image via Berita HarianJIM mengambil maklum berhubung isu tular kesulitan perjalanan ke luar negara yang dialami oleh beberapa pemegang PMA
Zakaria berkata JIM telah merujuk perkara tersebut kepada pihak ICAO dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun.
"Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara," katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan seorang pengembara Malaysia yang berdepan kesulitan ketika melakukan perjalanan di beberapa lapangan terbang luar negara susulan tempoh sah laku pasportnya melebihi 10 tahun.
Individu itu mendakwa dia berdepan masalah berkaitan tempoh sah laku pasport ketika berada di Dubai, Johannesburg dan Windhoek kerana sistem digunakan pihak berkuasa atau syarikat penerbangan tertentu didakwa tidak dapat menerima pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
JIM melancarkan PMA struktur baharu yang menawarkan tempoh sah laku sehingga 10 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas. Pengenalan pasport 10 tahun itu bagi mengurangkan kekerapan pembaharuan pasport, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
Kadar bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku 10 tahun ditetapkan sebanyak RM350 manakala bayaran bagi PMA dengan tempoh sah laku lima tahun kekal pada harga RM200.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via