16 Tips Penting Sebelum, Semasa, Dan Selepas Terkena Gas Pemedih Mata
Apa anda perlu lakukan sekiranya berhadapan dengan gas pemedih mata?
Bersih 4 semakin hampir! Dalam apa jua perkara yang kita mahu lakukan sekalipun, keselamatan adalah perkara paling utama yang perlu kita tekankan, termasuklah ketika berhimpun secara aman.
Maklumlah, dalam mana-mana perhimpunan aman sekalipun, perkara buruk yang tak diduga mungkin boleh berlaku. Bak kata pepatah 'Malang tak berbau'. Contohnya seperti pergolakan diantara peserta dan pergaduhan bersama pihak berkuasa.
Situasi-situasi di atas ini boleh menyebabkan pihak berkuasa bertindak untuk melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan keadaan. Dan jika perkara itu berlaku, maka buruk padahnya. Ia bukanlah sesuatu yang kita ingin lihat dalam mana-mana acara sekalipun.
Jadi, sebelum terjadi sebarang perkara buruk melibatkan tear gas dari pihak berkuasa, apa kata kita persiapkan diri dengan knowledge tentang bagaimana untuk berhadapan dengan gas ini. Baca di bawah:
Apa isi kandungan dan jenis gas pemedih mata yang selalu digunakan?
Antara jenis gas pemedih mata yang biasa digunakan untuk menyuraikan perhimpunan mahupun demonstasi jalanan adalah o-chlorobenzylidenemalononitrile (CS) dan chloroacetophenone (CN).
CS dan CN adalah ejen lakrimator yang memberikan kesan kepada mata, kulit dan sebarang permukaan mukus terutamanya daripada saluran pernafasan dan permakanan. Mata yang terdedah dengan CS akan merasai kepedihan dan seakan terbakar. Kebiasaannya air mata akan terhasil sebagai reaksi tindak balas.
Mereka yang berada di kawasan yang terdedah pada ejen lakrimator akan merasai pedih pada kulitnya, sakit tekak, cenderung untuk batuk, dan menghadapi kesukaran dalam bernafas.
Kesimpulannya, suasana berada di dalam kawasan yang telah “diserang” oleh gas pemedih mata sangatlah menyeksakan dan sangat pedih.
Adakah gas pemedih ini merbahaya dan boleh memberi kesan mudarat ke atas tubuh badan?
Kebiasaannya tidak membawa sebarang mudarat yang berpanjangan kerana kesan sampingan yang disebabkan oleh CS hanya bersifat sementara dan akan beransur-ansur hilang setelah bebas daripada pendedahan kepada CS.
Akan tetapi bagi mereka yang sudah sedia ada mempunyai penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan seperti asma berkemungkinan akan berhadapan dengan situasi yang sukar apabila terdedah dengan gas pemedih mata.
Siapa yang berbahaya terdedah pada gas pemedih mata?
1. Mereka yang ada penyakit lelah.
2. Mereka yang mempunyai penyakit dada dan paru-paru.
3. Wanita yang mengandung.
4. Mereka yang mempunyai penyakit mata dan kulit.
5. Mereka yang menggunakan kanta pelekap (contact lens).
1. Sebelum gas pemedih mata dilepaskan
1. Sekiranya anda nampak pihak keselamatan mula mengenakan topeng muka, bermakna gas pemedih mata akan dilepaskan.
2. Sekiranya anda memakai kanta pelekap (contact lense), tanggalkannya dengan segera, jangan gunakan kanta pelekap ini walaupun keadaan telah reda. Pakai cermin renang (goggle) sekiranya ada.
3. Tutup mulut dan hidung rapat dengan kain yang dibasahkan dengan air kosong (sebaiknya dibasahkan dengan air limau).
4. Sekiranya anda ada baju hujan, maka pakai baju dan seluar hujan dengan kemas serta tutup kepala anda dengan penutup kepala.
5. Jangan gunakan losyen atau minyak sebagai pelindung kulit kerana ini akan lebih memburukkan keadaan kerana losyen dan minyak akan memerangkap kimia gas pemedih mata pada kulit anda.
2. Ketika gas pemedih mata dilepaskan
6. Cuba bertenang, Jangan Panik! Jika anda panik, suhu badan anda akan meningkat dan akan lebih memedihkan lagi mata dan kulit anda. Cuba bergerak keluar dari asap gas pemedih mata.
7. Jangan sentuh muka dan mata anda dengan tangan.
8. Hembus hidung, dan ludahkan keluar kimia yang terdapat dalam gas pemedih mata daripada mulut.
9. Jangan sentuh tin gas pemedih mata yang dilepaskan, ianya panas.
10. Sekiranya anda dapati ibu mengandung atau kanak-kanak berada di kawasan tersebut, gunakan sarung tangan kulit untuk mencampakkan tin gas pemedih mata tersebut ke kawasan yang tiada orang. (Jangan campakkan tin gas pemedih mata tersebut ke arah pasukan keselamatan).
3. Selepas berada di kawasan yang terdedah kepada gas pemedih mata
11. Basuh pakaian yang dipakai secara berasingan daripada pakaian harian yang lain. (gunakan air sejuk)
12. Mandi dengan air sejuk/bersuhu sederhana. Jangan gunakan sabun dan elakkan penggunaan air panas kerana ia akan menyebabkan pembukaan liang roma dan membolehkan ejen lakrimator yang terdapat pada tubuh masuk ke dalam badan.
13. Jangan meletakkan sebarang losyen atau krim pada kulit yang terjejas kecuali setelah mendapat nasihat pakar atau setelah tubuh badan dibersihkan atau selepas 6 jam. (CS larut di dalam lemak, maka penggunaan krim mahupun losyen hanya akan memburukkan keadaan)
14. Boleh gunakan ais yang dibalut dengan kain bagi mengurangkan rasa pedih pada kulit.
15. Kelewatan di dalam membersihkan diri mahupun berterusan membiarkan diri terdedah dengan gas pemedih mata juga akan memberikan kesan yang buruk seperti radang kulit.16. Jika menghadapi kesan sampingan yang lebih teruk seperti blister, penyakit berkaitan sistem pernafasan, dan serbuk CS mengenai mata pada kuantiti yang banyak, maka dinasihatkan agar segera berjumpa doktor di pusat rawatan kesihatan yang berdekatan.
Begitulah sedikit sebanyak info yang kita perlu tahu mengenai perlindungan terhadap gas pemedih mata. Harap tips-tips di atas dapat membantu.
Seperti yang pernah kami maklumkan sebelum ini, semuanya terpulang ke atas diri anda sama ada ingin menyertai perhimpunan Bersih 4 atau tidak. Kami cuma mengharapkan agar tiada sebarang keganasan berlaku sepanjang perhimpunan.