Petah Berbahasa Inggeris, Gelagat Warga Emas Di Pusat Jagaan Raih Lebih 10 Juta Tontonan
Comel lah opah!
Cover image via @akupenjaganenek (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sangka, gelagat seorang warga emas yang tinggal di sebuah pusat jagaan mampu mencuri perhatian ramai hanya dengan cara dia memperkenalkan diri

Lebih menarik, warga emas berkenaan begitu yakin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika berbual bersama penghuni lain.
Video yang memaparkan gelagatnya itu kini tular di TikTok selepas meraih 10 juta tontonan dan lebih 826,000 tanda suka.
Menurut laporan Sinar Harian, Pengurus Pusat Jagaan Sri Mesra (Mesra Home) di Taman Sri Watan, Ampang, Faezah Ali berkata warga emas tersebut sememangnya antara penghuni yang sering mencuri perhatian.
"Warga emas berkenaan mampu berkomunikasi dengan yakin dan kelihatan lebih bersemangat apabila diajak berbual menggunakan bahasa Inggeris.
"Bila saya rakam dia, dia nampak yakin. Dia tahu dia perlu jaga diri sendiri dan dia bersyukur dapat tinggal di sini," katanya.
Difahamkan, warga emas berkenaan mengalami masalah pendengaran selepas terbabit dalam kemalangan ketika berusia 40 tahun
Namun begitu, keadaan tersebut tidak menghalangnya untuk terus berkomunikasi dan menjalani rutin harian dengan ceria.
Selain gelagat warga emas berkenaan, akaun TikTok @Aku Penjaga Nenek turut berkongsikan pelbagai momen penghuni di Mesra Home.
Antaranya termasuk aktiviti bersembang, bergurau, menyanyi serta menyertai pelbagai aktiviti harian. Dalam salah satu video yang tular, warga emas itu dilihat bersama dua penghuni lain sebelum diminta memperkenalkan nama.
Dengan penuh yakin, dia memperkenalkan dirinya dalam bahasa Inggeris sehingga video tersebut mendapat perhatian jutaan pengguna media sosial.
Bagi Faezah, setiap penghuni di pusat jagaan itu mempunyai karakter dan kisah hidup masing-masing. Justeru, rutin harian mereka turut dipelbagaikan menerusi aktiviti seperti 'Sekolah Kehidupan' supaya penghuni tidak berasa bosan.

"Kalau tidak ada rutin, mereka boleh bosan. Jadi kita kena sentiasa tanya mereka apa yang mereka rasa, tukar tajuk dan buat mereka rasa dihargai.
"Kadang-kadang kita puji mereka dengan ikhlas. Bila mereka duduk dengan baik atau buat sesuatu dengan elok, kita puji. Mereka terus rasa dihargai," katanya.
Menurut bekas jururawat itu, perhatian kecil seperti bertanya khabar dan memberikan pujian secara ikhlas sebenarnya mampu memberi kesan besar kepada emosi penghuni
"Bila kita layan mereka macam itu, kita sendiri akan rasa mereka seperti mak atau nenek kita," ujarnya lagi.
Malah, ada antara penghuni yang pernah melalui pelbagai ujian dalam kehidupan termasuk berdepan masalah kesihatan mental. Namun, dengan sokongan dan perhatian yang diberikan, keadaan sebahagian daripada mereka dilihat berubah menjadi lebih baik.
Lihat video penuh di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


