PKP 2.0: Khidmat Penghantaran & Operasi 'Kedai Makan' Kini Dibenarkan Hingga 10 Malam
Berkuat kuasa mulai esok (Jumaat), 22 Januari 2021.
Berita baik untuk rakyat Malaysia, kerajaan kini bersetuju melanjutkan operasi kedai makan, restoran dan perkhidmatan penghantaran sehingga 10 malam mulai esok (Jumaat), 22 Januari 2021
Menurut sumber, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mendengar rintihan rakyat yang mahu operasi kedai makan dilanjutkan berbanding sebelum ini hanya terhad kepada 8 malam.
"Trending di media sosial mengenai rungutan orang ramai apabila kedai makan dan restoran ditutup awal iaitu 8 malam.
"Saya katakan kerajaan mendengar setiap pandangan dan rungutan rakyat.
"Sidang khas hari ini bersetuju melanjutkan operasi kedai makan, restoran dan khidmat penghantaran sehingga 10 malam mulai esok," katanya.
Aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja
Pelanjutan itu turut membabitkan gerai, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kios yang dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam.
Terdahulu, kerajaan akan mempertimbangkan waktu operasi restoran dan kedai makan dari jam 8 malam kepada jam 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) ketika ini dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia susulan rayuan pengusaha restoran dan kedai makan yang mahu waktu operasi mereka dilanjutkan.
"Kerajaan amat memahami keperluan mereka (pemilik restoran dan kedai makan) yang mahu menghidupkan semula aktiviti ekonomi atas bantuan dan inisiatif kerajaan," katanya.