PKS Disaran Rebut Dana Iklan Digital OHSEM Bernilai RM21 Juta
Dana ini terhad kepada 1,000 usahawan pertama yang membuat permohonan dan diluluskan.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan Dana Iklan Digital OHSEM bernilai RM21 juta sempena acara OHSEM Marketing 360 bersama Media Prima Berhad di Hotel Pullman, Bangsar
Dana itu disediakan menerusi kerjasama antara Dattel Asia Group (DTL), REV Media Group (REV) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Kebiasaannya, golongan PKS kerap mengiklankan perniagaan hanya melalui platform media sosial.
Namun, portal kandungan premium seperti SAYS, Berita Harian, News Straits Times (NST), Sirap Limau dan OHBULAN! tidak termasuk dalam pertimbangan mereka.
Justeru, menerusi Dana Iklan Digital OHSEM ini, usahawan PKS secara tidak langsung mempunyai peluang untuk mencuba alternatif pengiklanan lebih baik daripada platform media sosial untuk melonjakkan jenama dan jualan mereka.
Menerusi dana ini, PKS yang layak berpeluang mendapat akses kepada pengiklanan premium bernilai RM8,000 dengan kos pengiklanan sebenar yang perlu ditanggung hanya RM1,000.
Untuk memohon dana ini, PKS yang berminat perlu membuat permohonan secara dalam talian menerusi laman www.ohsemads.com dan kelulusan akan dimaklumkan dalam tempoh 48 jam.
Dana yang diperuntukkan terhad kepada 1,000 usahawan pertama yang membuat permohonan dan diluluskan
Dalam majlis sama, Fahmi menjelaskan kerjasama antara syarikat swasta dan kerajaan ini adalah langkah strategik yang bakal memberi impak positif tiga penjuru.
"Bagi golongan PKS, mereka boleh menikmati manfaat pengiklanan di portal kandungan premium dan terkemuka seperti REV pada harga berpatutan.
"Pengiklanan PKS di portal tempatan turut memberi manfaat kepada pemain tempatan untuk kekal berdaya saing.
"Rakyat Malaysia berbelanja mencecah RM2 billion di Facebook. Ringgit Malaysia secara tidak langsung keluar dari negara dan tidak menjana pusingan ekonomi dalam negara.
"Justeru, inisiatif Dana Iklan Digital OHSEM ini diyakini bakal merancakkan lagi ekonomi dalam negara," katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dattel Asia, Datuk Ashran Ghazi berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada penjanaan ekonomi dalaman yang komprehensif.
"Kami sangat terbuka untuk bekerjasama dengan platform teknologi pasaran dan platform kandungan lain bagi mencapai aspirasi membantu usahawan PKS dengan lebih pantas," katanya.
Menerusi dana ini, usahawan juga akan mendapat akses kepada platform data profil pengguna untuk penyasaran yang lebih tepat dan platform Pengurus Iklan REV yang dikuasakan AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Samuel Wee berkata inisiatif ini hanyalah permulaan usaha syarikat untuk menyokong usahawan PKS.
"Saya berharap PKS merebut peluang keemasan ini untuk mencuba sesuatu yang baharu untuk diri mereka sendiri," katanya.
Rebut peluang untuk menjadi salah seorang daripada 1,000 usahawan bertuah dengan membuat permohonan Dana Iklan OHSEM menerusi www.ohsemads.com.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!