7 Fakta Menarik Erling Haaland, ‘Mesin Gol’ Norway Yang Kini Gegarkan Piala Dunia 2026
Okay admin dah daftar jadi fans Haaland, korang? 😛
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kalau sebut nama Erling Haaland, hampir semua peminat bola sepak pasti kenal
Menurut laporan Life in Norway, sebelum Piala Dunia 2026 lagi, penyerang Manchester City itu sudah pun dianggap antara pemain terbaik dunia.
Kini, selepas Norway kembali beraksi di pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998, Haaland terus mencuri tumpuan apabila mempamerkan aksi cemerlang bersama negaranya.
Haaland membuktikan bahawa kerja keras mampu membawa seseorang ke pentas tertinggi dunia. Jom kenali beberapa fakta menarik tentang penyerang berbisa ini!

1. Jaringkan dua gol dalam penampilan sulung Piala Dunia
Ramai mungkin tidak sedar, Piala Dunia 2026 merupakan kejohanan antarabangsa utama pertama buat Haaland.
Dalam aksi pembukaan kumpulan menentang Iraq, penyerang berusia 25 tahun itu terus menunjukkan kelas tersendiri apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
Norway akhirnya menang 4-1, sekali gus memberikan permulaan sempurna kepada skuad mereka selepas 28 tahun menanti untuk kembali ke Piala Dunia.
Lebih menarik, Haaland sebenarnya sudah menjaringkan 16 gol sepanjang kempen kelayakan, membuktikan betapa pentingnya dia buat Norway.

2. Pernah jaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan
Kalau fikir dua atau tiga gol sudah cukup hebat, Haaland pernah melakukan sesuatu yang jauh lebih luar biasa!
Pada Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2019 di Poland, dia menjaringkan sembilan gol ketika Norway 'membelasah' Honduras 12-0.
Lebih unik, sembilan gol itu merupakan satu-satunya jaringan Haaland sepanjang kejohanan tersebut.
Sehingga hari ini, rekod itu masih menjadi antara pencapaian paling luar biasa dalam sejarah kejohanan FIFA.

3. Sudah bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman Norway
Nama Jørgen Juve pernah memegang rekod penjaring terbanyak Norway dengan 33 gol selama hampir 90 tahun.
Namun pada 2024, Haaland akhirnya memadam rekod tersebut selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Slovenia.
Kini, selepas aksi menentang Iraq di Piala Dunia 2026, Haaland sudah mengumpul 59 gol dalam hanya 52 penampilan bersama skuad kebangsaan. Rekod itu jelas membuktikan dia bukan sekadar penjaring prolifik, malah antara penyerang paling berbisa di pentas antarabangsa.

4. Dilahirkan di England tetapi membesar di Norway
Walaupun mewakili Norway, Haaland sebenarnya dilahirkan di Leeds, England. Ketika itu bapanya, Alf-Inge Haaland, sedang bermain untuk Leeds United.
Tidak lama kemudian, keluarganya pulang ke Norway dan Haaland membesar di Bryne, sebuah bandar kecil yang terletak berhampiran Stavanger.
Di situlah perjalanan bola sepaknya bermula sebelum namanya dikenali di seluruh dunia.

5. Bapanya juga bekas pemain bola sepak profesional
Bakat bola sepak Haaland bukan datang secara kebetulan. Bapanya, Alf-Inge Haaland, pernah beraksi bersama Nottingham Forest, Leeds United dan Manchester City selain mewakili Norway.
Berbeza dengan Erling yang terkenal sebagai penjaring gol, Alf-Inge lebih dikenali sebagai pemain pertahanan dan pemain tengah.
Membesar dalam keluarga yang sudah biasa dengan dunia bola sepak profesional sedikit sebanyak membantu Haaland memahami cabaran sebenar sebagai seorang pemain.

6. Kontrak bersama Manchester City sehingga 2034
Haaland menyertai Manchester City pada tahun 2022 dan terus menjadi watak penting pasukan.
Pada Januari 2025, City mengumumkan bahawa Haaland menandatangani kontrak baharu selama 10 tahun. Ini bermakna dia akan kekal bersama kelab itu sehingga tahun 2034 jika kontrak tersebut dihabiskan sepenuhnya.
Kontrak sepanjang itu jarang diberikan kepada pemain bola sepak, sekali gus menunjukkan betapa besarnya kepercayaan Manchester City terhadap Haaland.

7. Pernah jadi rapper sebelum terkenal
Siapa sangka 'mesin gol' Norway ini pernah muncul dalam video muzik rap?
Pada tahun 2016, Haaland bersama dua rakan sepasukannya, Erik Botheim dan Erik Tobias Sandberg menubuhkan kumpulan bernama Flow Kingz.
Mereka menghasilkan lagu berjudul 'Kygo Jo', yang diinspirasikan daripada DJ terkenal Norway, Kygo.
Video muzik itu kini kembali tular dan meraih jutaan tontonan selepas Haaland muncul sebagai antara bintang bola sepak terbesar dunia.
Walaupun nampak lucu jika ditonton semula hari ini, video tersebut memperlihatkan sisi santai Haaland sebelum bergelar pemain bertaraf dunia.
Dengan usia yang masih muda dan prestasi yang konsisten, tidak mustahil lebih banyak rekod bakal dipecahkan oleh mesin gol Norway ini dalam beberapa tahun akan datang.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via