Central Market Mohon Maaf Selepas Guna Bahasa ‘Rempit’, Netizen Dakwa Jejaskan Imej Ikon Warisan
Ramai pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut, malah ada yang tertanya-tanya sama ada akaun tersebut benar-benar milik rasmi Central Market.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Central Market Kuala Lumpur tampil memohon maaf selepas beberapa hantaran promosi di media sosial menerima kecaman ramai kerana menggunakan kapsyen berunsur bahasa 'rempit' yang disifatkan tidak sesuai dengan imej sebuah mercu tanda warisan negara
Kontroversi itu tercetus apabila Central Market memuat naik beberapa hantaran di platform Threads bagi mempromosikan acara Pesta Kita yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Jun.
Namun, kapsyen yang digunakan gagal menarik perhatian positif sebaliknya mengundang pelbagai kritikan daripada netizen yang mempersoalkan kesesuaian gaya bahasa tersebut dengan identiti Central Market yang sinonim dengan seni, budaya dan warisan Malaysia.
Ramai pengguna media sosial meluahkan rasa terkejut, malah ada yang tertanya-tanya sama ada akaun tersebut benar-benar milik rasmi Central Market.
"Ini betul akaun rasmi Central Market? Siapa yang luluskan kapsyen macam ini?" tulis seorang pengguna.

Selain itu, terdapat juga netizen yang berpendapat bahawa walaupun usaha mendekati golongan muda adalah sesuatu yang baik, penggunaan bahasa yang dianggap keterlaluan dan janggal itu dilihat tidak mencerminkan nilai serta reputasi sebuah institusi budaya yang dihormati
Malah, ada yang mendakwa kapsyen tersebut kelihatan seperti dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) dan disifatkan sebagai 'cringe' atau memalukan.
Susulan kecaman yang diterima, Central Market bertindak memadam semua hantaran berkaitan di Threads sebelum mengeluarkan kenyataan permohonan maaf secara terbuka.
Dalam kenyataan tersebut, pihak pengurusan mengakui kesilapan yang berlaku dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan yang telah dikongsikan.
"Kami ingin memohon maaf dengan setulus hati atas hantaran terdahulu. Kami mengakui kandungan tersebut tidak sensitif dan telah menimbulkan kekecewaan kepada ramai pihak," menurut kenyataan itu.

Central Market turut menegaskan bahawa kandungan berkenaan tidak mencerminkan nilai serta prinsip organisasi mereka dan berterima kasih kepada orang ramai kerana menegur serta memastikan mereka bertanggungjawab terhadap kesilapan tersebut
Dalam masa sama, organisasi itu memaklumkan bahawa akaun media sosial mereka akan dikendalikan oleh pasukan pentadbir baharu bagi memastikan kandungan yang diterbitkan lebih selari dengan standard dan jangkaan masyarakat.
Walaupun sebelum ini Central Market memaklumkan akan meninggalkan platform Threads susulan kontroversi tersebut, akaun berkenaan masih aktif setakat ini, namun semua hantaran terdahulu telah dipadamkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via