‘Check-In’ Selama 3 Tahun Setengah, Bil Mika Cecah RM21,500 Di Hotel Kucing
Difahamkan, pemilik kucing itu tidak pernah culas membayar bil penginapan bulanan dan sentiasa memastikan kebajikannya terjaga.
Cover image via @areyurahim (Threads)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seekor kucing bernama Mika mencuri perhatian pengguna media sosial apabila menjadi penghuni tetap sebuah hotel kucing di Kelantan selama tiga tahun enam bulan dengan jumlah bil keseluruhan mencecah RM21,500

Menerusi perkongsian pemilik hotel kucing Pusak Pethouse Kelantan, @areyurahim di Threads, Mika ditinggalkan oleh pemiliknya kerana perlu bekerja di Kuala Lumpur, namun masih kerap pulang ke Kelantan dan melawat haiwan kesayangannya itu.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, pemilik Mika tidak pernah culas membayar bil penginapan bulanan dan sentiasa memastikan kebajikan kucing berkenaan terjaga.
"Kami kakak-kakak staf sedih semalam sebab penghuni hotel paling lama dah balik pada tuan dia. Jumlah bil hotel keseluruhan RM21,500 dan tak pernah tinggal bayar setiap bulan.
"Semalam datang ambil dah, alhamdulillah Mika gembira dapat balik rumah dia semula. Pemilik kena outstation di Kuala Lumpur, jadi bila dapat balik ke Kelantan dia selalu datang jengah Mika," katanya.
Menjawab pertanyaan pengguna lain, Areyurahim memaklumkan Mika telah dimandulkan dan berat badannya turut meningkat daripada empat kilogram kepada tujuh kilogram selepas lebih tiga tahun tinggal di hotel tersebut

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang memuji sikap bertanggungjawab pemilik Mika kerana memilih menghantar haiwan kesayangannya ke hotel kucing berbanding membiarkannya terbiar.
"Bagus tuan dia walaupun tak boleh jaga atas sebab tertentu, tapi masih ada hati perut letak di hotel kucing. Yang ramai kat Malaysia ni bila ada kesusahan sikit, terus buang kucing," tulis seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna berkongsi pengalaman menghantar kucing yang sakit ke klinik haiwan selama hampir sebulan kerana tiada penjaga di rumah, manakala ada yang berseloroh menyamakan hotel kucing itu seperti 'boarding school' kerana haiwan peliharaan berkenaan sentiasa dijaga dan mempunyai teman bermain,
Lihat perkongsian Threads di bawah:
View on Threads

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


