Portal ‘Sekolahku’ Diperkenal Khas Buat Ibu Bapa Semak Maklumat Sekolah Yang Sesuai
Portal tersebut akan memaparkan maklumat mengenai lebih daripada 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Cover image via Digital Ministry (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ibu bapa tidak lama lagi akan dapat mengakses maklumat sekolah melalui portal dalam talian berpusat, sekali gus memudahkan mereka mencari sekolah yang sesuai untuk anak-anak mereka
Dilancarkan di SK Damansara Utama hari ini, 3 November, portal 'Sekolahku' ini dibangunkan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Digital.
Menurut New Straits Times, portal tersebut akan memaparkan maklumat mengenai lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara.
Ia membolehkan pengguna mencari sekolah mengikut lokasi serta melihat profil, statistik dan maklumat lain berkaitan sekolah tersebut.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata portal tersebut akan memudahkan ibu bapa kerana mereka tidak perlu lagi mengunjungi sekolah satu persatu atau menghubungi pejabat pendidikan daerah untuk mendapatkan maklumat
"Sebelum ini, ibu bapa mungkin terpaksa merujuk kepada pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat mengenai sekolah," katanya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata portal itu juga menangani kebimbangan lazim dalam kalangan ibu bapa, seperti sama ada sesebuah sekolah mempunyai kekosongan tempat atau sudah terlalu penuh.
Beliau menambah bahawa portal ini amat berguna bagi ibu bapa yang sedang membuat persediaan untuk menghantar anak-anak mereka ke Tingkatan Satu.
Melalui portal tersebut, ibu bapa boleh mengenal pasti sekolah yang berhampiran dengan kediaman mereka, meninjau pilihan sekolah berasrama, menyemak sama ada sekolah menawarkan program khas serta mengetahui cara untuk ke sekolah pilihan mereka.
"Para pelajar juga boleh menggunakan platform ini untuk melihat sama ada mereka berpeluang untuk mendaftar di sekolah impian mereka," katanya, lapor oleh The Star.


Kementerian Digital menyerahkan portal tersebut kepada Kementerian Pendidikan dalam satu majlis hari ini
Penyerahan ini menandakan peralihan kepada fasa pemilikan dan operasi di bawah Kementerian Pendidikan, yang akan menyelia ketepatan maklumat, tadbir urus data, serta penambahbaikan berterusan bagi memenuhi keperluan pengguna.
Tarikh portal tersebut akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai masih belum diumumkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


