PU Riz Kini Dilantik Jadi Duta Wakaf Masjid Al-Makmuriah, Kubang Kerian Di Kelantan
Pelantikan itu bagi tujuan mengumpul dana, membiayai pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pendakwah selebriti Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 29, dilantik menjadi Duta Wakaf Program Wakaf Masjid Al-Makmuriah, Kubang Kerian di Kelantan
PU Riz berkata, pelantikannya bagi membantu program itu untuk mengumpul dana bagi tujuan membiayai pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.
"Saya terima pelawaan ini pertama, ia adalah masjid persendirian yang tidak dinaungi mana-mana pihak kecuali orang masjid sendiri serta bantuan pun diterima oleh orang ramai.
"Komitmen saya lebih pada membantu pihak masjid mencari dana dan sedekah bagi beberapa tujuan seperti pembelian tanah, pembangunan infrasruktur dan membaik pulih rumah asnaf.
"Selain itu, pihak masjid akan menjalankan beberapa program sepanjang enam bulan ke depan ini. Jadi, saya mengharapkan orang ramai terutama pengikut saya di media sosial untuk bersama-sama menyumbang seikhlasnya," katanya.
Majlis menandatangani pelantikan itu dibuat di masjid berkenaan pada 6 Julai lalu
Sejurus itu, turut diadakan program Kuliah Maghrib Perdana 'Generasi Z Cinta Masjid' yang dihadiri lebih 300 penduduk kampung.
"Alhamdulillah, sasaran program ini memang dalam kalangan golongan muda. Malah, itu juga antara sebab kenapa saya dipilih menjadi duta wakaf ini oleh pihak masjid.
"Semoga kerjasama kami dapat menggerakkan lagi golongan muda untuk terbabit sama dalam program yang bakal diadakan selepas ini.
"Paling penting juga, semoga segala apa yang dirancang pihak masjid dari segi pembangunan dan membantu golongan asnaf dapat dilaksanakan dan dipermudahkan Allah SWT," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!