Ratusan Anak Muda Bersatu Hati Hidupkan Cinta Kepada Rasulullah SAW Di Himpunan HAMKA Kedah 2026
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Cover image via YB Senator Dr. Zulkifli Hasan (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim baru-baru ini bergema dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena penganjuran Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Kedah 2026
Program kerohanian dan keilmuan yang dihadiri oleh ratusan anak muda ini turut diserikan dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Dalam ucapannya, Dr. Zulkifli menegaskan bahawa penganjuran pusingan jelajah HAMKA merupakan satu ikhtiar strategik kerajaan dalam menggerakkan gelombang asatizah muda di seluruh negara. Rangkaian program ini dirangka khusus untuk menghimpunkan bakat, ilmu, serta semangat dakwah generasi baharu.
"Apabila anak-anak muda dekat dengan selawat dan sentiasa menghidupkan kecintaan kepada Rasulullah SAW, insya-Allah kita akan dapat melahirkan generasi yang bersatu hati, kukuh jati dirinya, dan menjadi kekuatan utama kepada ummah serta negara," ujar beliau.
Membentuk jiwa berakhlak melalui selawat

Beliau turut menambah bahawa pengisian program yang berteraskan selawat dan majlis ilmu merupakan medium terbaik bagi mendekatkan generasi muda kepada gaya hidup serta sunnah Rasulullah SAW.
Langkah ini penting dalam melahirkan pelapis masyarakat yang bukan sahaja berilmu tinggi, malah mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang mendalam terhadap agama dan negara.
Di penghujung majlis, Dr. Zulkifli merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang bekerjasama menjayakan perhimpunan ini, termasuk para masyaikh dan barisan asatizah tempatan; agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); pihak pengurusan IPG Kampus Sultan Abdul Halim serta barisan penggerak Daei Madani.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


