'Dalam Drama Semuanya Indah' - Ini 10 Hakikat Dan Realiti Sebenar Kehidupan Seorang Pilot
Pilot bukan sekadar tarik beg di airport okay.
Minggu lalu, drama sensasi 'Suri Hari Mr Pilot' lakonan Neelofa dan Fattah Amin telah melabuhkan tirai
Sejak mula ditayangkan pada 10 Oktober lalu, drama ini mendapat sambutan luar biasa oleh penonton. Gandingan kedua-dua seteru utama ini nampaknya begitu memikat apabila berjaya menonjolkan chemistry yang cukup romantis di dalam drama. Masing-masing suka melihat mereka berdua disatukan.
Namun begitu, terdapat juga orang yang mengatakan drama ini tidak memaparkan realiti kehidupan sebenar seorang juruterbang. Ejaz Fakhri lakonan Fattah Amin dilihat terlalu kerap menarik beg ke sana ke mari di airport dan terlalu sibuk bercinta dengan Warda lakonan Neelofa, tanpa ada babak menerbangkan kapal terbang langsung.
Kritikan sebegini memang kita selalu dapat lihat pada setiap drama yang ditayangkan. Jadi, bagaimana sebenarnya realiti kehidupan seorang pilot di alam nyata?
Sementara isu masih hangat, laman The Pilot mengambil keputusan untuk menceritakan tentang bagaimana sebenarnya menjadi seorang juruterbang bertauliah. Adakah semuanya indah seperti yang dipaparkan dalam drama? Jom baca di bawah:
Pilot Realiti dan Pilot TV
"Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung perihnya kebodohan.. "
~Imam Syafie~
1. Nampak memang seronok dan indah. Dalam drama, mereka tunjuk Pilot tarik beg, berlegar legar di airport, jumpa jodoh, borak borak cinta, cewah! Hakikat yang tidak diketahui ialah kehidupan seorang pilot sebenarnya proses pembelajaran yang berterusan, sejak dari flying school, belajar, ujian, belajar, ujian tak habis-habis. Pendek kata memang tak boleh dipisahkan sampailah dia pencen nanti.
2. Semasa di flying school dia perlu belajar dalam kelas ground school untuk melalui exam PPL, CPL dan ATPL. Setiap ujian ini mengandungi 5 ke 8 subjek yang perlu dijawab dengan lulus. Markah lulus pula ialah 80%! (Lulus 80%?? Ya betul, itulah jangan tak tahu ya. Asyiklah sangat tengok tv tu.) Selain itu, dia perlu mempelajari type tech yang menjurus kepada mempelajari sistem pesawat dan limitation. Dia juga perlu mempelajari SOP mengendalikan pesawat single engine dan multi engine serta ujian menerbangkan pesawat.
3. Setelah dia melaporkan diri pada airline tertentu, dia kena mempelajari sistem pesawat yang lebih besar seperti Boeing 737. Manual untuk mengendalikan pesawat ini pula ada sebanyak 7-10 manual setebal 4 inci. Latihan demi latihan dalam simulator dia jalani sehinggalah dia boleh mengendalikan simulator dengan baik. Latihan ini termasuk latihan kecemasan seperti membuat takeoff dan landing bagi pesawat yang mengalami kerosakan enjin, 'decompression' dan sebagainya.
4. Ujian SEP (safety emergency procedure) bagi proses meninggalkan pesawat selepas melakukan pendaratan cemas, berenang, berkumpul, mengendalikan penumpang yang bermasalah, mengendalikan ancaman bom, mengendalikan penumpang sakit, keupayaan survivor di hutan, laut dan banyak lagi, ini pula dijalani setahun sekali.
5. Paling lumrah dalam kehidupan seorang pilot ialah dia kena menghadapi 'base check' dua kali dalam setahun ataupun lebih tepat lagi ialah pada setiap 6 bulan. Macam peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun lah kiranya base check ini. Ujian seperti normal procedure dan abnormal procedure diuji dalam simulator (model pesawat yang boleh bergerak 3 paksi di dalam sebuah dewan tertutup). Biasanya dijalankan dalam 3 hari termasuk ulangkaji CBT(computer base training).
6. Satu lagi ujian yang perlu dilalui oleh pilot ialah English Proficiency. Ujian ini baharu sahaja diperkenalkan pada 2010. Bagi yang mencapai Level 4, perlu menduduki ujian setiap 3 tahun, Level 5 setiap 6 tahun dan Level 6 pula tidak perlu lagi seumur hidup! :)
7. Kelas CRM (crew resource management) dijalankan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan Airline tersebut. Ia juga adalah satu cara bagi memberi latihan kepada pilot dan krew kabin terutamanya bagi mengendalikan SOP normal dan abnormal. Isu-isu terkini akan disentuh bagi mencegah 'incident' dan 'accident' dan menambah kecekapan penerbangan.
8. Setiap tahun, pilot perlu melalui ujian kesihatan. Kita maklum bahawa ia penting bagi memastikan keupayaan kesihatan juruterbang yang baik bagi mengendalikan beratus-ratus penumpang. Saya pasti anda mahu pesawat yang dikendalikan oleh pilot yang sihat bukan?
9. Oh ya, ada satu lagi ujian yang perlu dijalani setiap tahun oleh pilot. Ia dipanggil 'line check'. Ujian ini dijalankan pada pesawat sebenar, bagi memastikan pilot mengikut SOP ataupun standard operation procedure yang terkini. Seorang instructor yang juga seorang captain, akan duduk di dalam kokpit dan memerhatikan bagaimana pilot mengendalikan pesawat.
10. Nah, jika anda berjaya membaca sampai ke poin yang ke 10 ini, saya pasti anda adalah seorang yang cekal dan boleh mengikuti latihan sebagai seorang pilot. Saya doakan anda berjaya. Jumpa anda nanti setelah anda menyarungkan jersi eh, maaf, uniform seorang juruterbang :) ehem ehem.
Sekarang anda telah pun ketahui serba sedikit walaupun bukan semua, bagaimana kehidupan Pilot Realiti vs Pilot Fiksyen. Ingat akan kata-kata imam Syafie pada awal artikel ini...
Sekian,
~Drebar Bus~
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!