Redah Lebih 10,000KM Ke Everest Base Camp, Pemuda Terengganu Bawa Yamaha RXZ Tawan Laluan Ekstrem

Memang powerlah bang!

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Seorang pemuda dari Terengganu menyertai ekspedisi luar biasa apabila menunggang motosikal legenda Yamaha RXZ merentasi lebih 10,000 kilometer (km) hingga ke Everest Base Camp, Tibet

Mohd. Firdaus Abdul Wahab, 34, merupakan antara 16 penunggang motosikal yang menyertai ekspedisi anjuran Kelab Pengembaraan MS88 itu, sekali gus membuktikan kemampuan jentera dua lejang berkenaan menempuh perjalanan jarak jauh dalam keadaan mencabar.

Menurut laporan Utusan Malaysia, ekspedisi itu bermula dari Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 5 Oktober lalu dengan merentasi Thailand, Laos dan Tibet. Misi pergi dan balik selama 33 hari itu dijangka menjadi antara pengalaman paling bermakna buat semua peserta.

Daripada keseluruhan peserta, 13 orang berasal dari Kedah, manakala masing-masing seorang mewakili Terengganu, Johor dan Pulau Pinang.

Firdaus yang juga pemilik bengkel motosikal di Kampung Merchang, Marang berkata, perjalanan merentasi pelbagai bentuk muka bumi serta berdepan cuaca ekstrem menjadi cabaran utama sepanjang ekspedisi berkenaan.

Suhu yang mencecah minus 18 darjah Celsius menguji ketahanan fizikal dan mental setiap penunggang, selain memberi kesan kepada motosikal yang digunakan

SAYS.com
Image via Exciting Nepal

"Persediaan mental dan fizikal sangat penting kerana kami terpaksa berdepan cuaca sejuk melampau sepanjang perjalanan.

"Cuaca sejuk turut memberi cabaran kepada motosikal, namun tiada motosikal peserta mengalami kerosakan serius sepanjang ekspedisi ini,"
katanya.

Firdaus dijangka tiba di Terengganu pada 12 November ini selepas meneruskan perjalanan pulang yang mengambil masa kira-kira 12 hari.

Walau bagaimanapun, perjalanan pulang kumpulan itu turut berdepan gangguan susulan kejadian gempa bumi di China, kelmarin, sehingga memaksa mereka mengubah laluan bagi meneruskan perjalanan.

Sementara itu, wakil Kelab Pengembaraan MS88, Mohamad Mujahid Mohd. Pisal, 35, berkata ekspedisi tersebut bertujuan membuktikan Yamaha RXZ mampu menempuh laluan ekstrem yang lazimnya diterokai menggunakan motosikal berkuasa besar

Katanya, perubahan cuaca secara mendadak serta laluan bersalji turut menjadi antara cabaran yang perlu dihadapi sepanjang perjalanan.

Kelab berkenaan sebelum ini pernah menjelajah beberapa negara ASEAN menggunakan Yamaha RXZ pada 2024, termasuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Ekspedisi ke Everest Base Camp itu sekali lagi memperlihatkan bagaimana minat terhadap motosikal legenda mampu membawa sekumpulan penunggang meneroka destinasi jauh, meskipun terpaksa berdepan cabaran cuaca dan keadaan jalan yang tidak menentu.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS