Saiful Vs Anwar: 5 Sebab Kenapa Penyokong Saiful Bukhari Yakin Beliau Diliwat

Apakah sebab-sebabnya?

Isu penjara Anwar masih belum tamat. Terlalu banyak teori, konspirasi serta hujah telah dilontarkan orang ramai di media sosial bagi membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah.

Image via mindaaktif.net

Dan bagi penyokong yang berpihak kepada Saiful Bukhari, begini ceritanya:

Pertama sekali, bagaimana kes ini boleh berbangkit? Berdasarkan tinjauan kami di Facebook, beberapa netizen mendakwa kes liwat Anwar Ibrahim ke atas Saiful Bukhari ini dibangkitkan oleh ahli DAP, iaitu mendiang Karpal Singh.

Image via SAYS.com

Isu berkenaan mula tercetus pada 16 Disember 2012, apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan dalam blognya bahawa Karpal mengetahui aktiviti liwat Anwar lebih awal iaitu pada 1997.

Menurut Ahli Parlimen Bebas itu, rekod hansard Parlimen bertarikh 6 dan 22 Oktober serta 18 Disember 1997 menunjukkan Karpal yang ketika itu Ahli Parlimen DAP di Jelutong telah mendesak kerajaan menyiasat akuan bersumpah Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali.

utusan.com.my

Kedua, Mahkamah Persekutuan memutuskan profil DNA "Lelaki Y" yang dihasilkan daripada ekstrak air mani yang terdapat dalam rektum Saiful Bukhari adalah sah milik Anwar Ibrahim

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Image via ismaweb.net

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata keterangan dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, bahawa profil DNA Lelaki Y yang dihasilkan daripada ekstrak air mani daripada rektum Mohd Saiful adalah sepadan dengan profil yang dihasilkan daripada berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral yang diambil dari lokap yang dihuni Anwar.

Hakim Arifin berkata dengan mengambil kira keterangan lain, tidak dapat dipertikaikan bahawa sampel yang diperiksa Nor Aidora adalah daripada barangan yang hanya digunakan oleh Anwar.

"Dengan ini tidak dapat dipertikaikan bahawa profil Lelaki Y yang dihasilkan dan dianalisis oleh kedua-dua ahli kimia tidak lain dan tidak bukan adalah milik perayu," katanya.

Hakim Arifin berkata berdasarkan pangkalan data DNA populasi rakyat Malaysia, terdapat kebarangkalian amat tinggi bahawa DNA Lelaki Y adalah milik individu yang sama. Dengan ini, mahkamah memutuskan bahawa keterangan DNA Lelaki Y menyokong keterangan terhadap elemen penetrasi zakar oleh Anwar.

bernama.com

Ketiga, selepas Saiful Bukhari mengangkat sumpah, orang ramai musykil mengapa Anwar Ibrahim tidak melakukan perkara sama selepas itu bagi menentang dakwaan Saiful. Anwar juga didapati tidak berani memberikan sampel DNA miliknya kepada mahkamah.

Image via SAYS.com

Image via SAYS.com

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar.

Image via astroawani.com

Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar mempersoalkan jika betul Anwar berada di pihak yang benar dan ini hanya satu konspirasi untuk menjatuhkannya, kenapa Anwar tidak berani memberikan sampel DNA miliknya kepada mahkamah untuk diadili.

“Sekiranya Anwar, keluarga, sahabat handai dan penyokongnya begitu yakin ini adalah satu konspirasi untuk jatuhkan beliau, cara yang paling berkesan dan baik untuk mendedahkan konspirasi tersebut adalah melalui DNA Anwar."

“Yang mana, DNA itu tidak semestinya dibuat di makmal di Malaysia tetapi boleh juga dihantar untuk dianalisis diluar negara seperti di Eropah atau Amerika Syarikat yang lebih memberi keyakinan kepadanya."

“Seterusnya, hasil DNA tersebut diserahkan kepada mahkamah untuk dihakimi secara profesional untuk membuktikan DNA yang dimiliki pendakwa (Mohd Saiful) bertentangan dengan DNA Anwar. Ini sekali gus menjadikan kes tersebut hancur dan mungkin kerajaan juga akan runtuh kerana orang akan beranggapan ini adalah bukti kepada konspirasi itu," ulasnya.

malaysiandigest.com

Keempat, bekas pembantu khas Anwar Ibrahim, Rahimi Osman menerusi Facebook membongkar pelbagai rahsia Anwar bersama Saiful seperti hadiah 'Suit Brioni' puluhan ribu, kondominium sulit, mesyuarat khas dan lain-lain. Sejauh manakah kebenarannya?

Bekas pembantu khas Anwar, Rahimi Osman.

Image via Facebook Rahimi Osman

Kelima, kenyataan panjang lebar yang dikeluarkan oleh Tan Sri Shafee Abdullah, Pendakwa Raya dalam kes Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari ini dianggap cukup jelas dalam menunjukkan siapa yang benar-benar salah

Kenyataan Pendakwa Raya berhubung keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim:

1. Penghakiman ini membawa kepada suatu pengakhiran bagi tujuh tahun masa mahkamah di mana sembilan Hakim, dan pasukan Pembelaan (Anwar sendiri telah melantik 14 orang peguambela di Mahkamah Persekutuan, namun secara keseluruhannya seramai lebih kurang 20 orang peguambela telah dilantik pada kesemua peringkat kes) mengambil masa beribu-ribu jam, telah mempertimbangkan setiap keterangan didalam kes ini dengan terperinci dari awal sehingga akhir. Kesemua sembilan Hakim tersebut adalah tidak termasuk Hakim-Hakim yang mendengar rayuan interlokutori.

2. Saya tahu bahawa keadilan akhirnya ditegakkan, jadi saya secara profesional berpuas hati dengan keputusan pada hari ini. Tetapi ianya tidak memberikan saya kegembiraan - kehidupan seorang pemuda telah dimusnahkan, berubah selama-lamanya. Lebih buruk lagi, tanpa berselindung, mangsa telah berhadapan dengan sesi Pemeriksaan Balas selama tujuh hari dan kesemua pasukan peguambela Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh menyoal balas beliau. Jadi, proses keadilan juga telah memburukkan lagi penderitaan beliau.

3. Namun Anwar Ibrahim dengan sendirinya telah memilih untuk tidak memberikan lebih daripada secebis kenyataan dari kandang tertuduh. Tidak seperti mangsa, beliau enggan berhadapan dengan pemeriksaan balas. Ianya adalah hak beliau dibawah undang-undang, namun hak yang beliau telah gunakan untuk menyerang pihak Pendakwaan, Yang Arif-Yang Arif Hakim, serta bekas rakan-rakannya dalam kerajaan. Beliau telah menjejaskan reputasi negara beliau sendiri.

4. Saya telah dilantik pada peringkat Mahkamah Rayuan sehingga peringkat akhir bagi rayuan kes ini di Mahkamah Persekutuan, bagi mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi di negara ini. Ianya merupakan suatu tugas yang sangat sukar, kerana apa yang menjadi kebiasaan bagi suatu kes biasa serangan seksual oleh majikan terhadap pekerjanya telah digunakan sebagai medan untuk menyerang reputasi badan kehakiman. Jadi saya menyeru kepada semua yang berfikiran adil di Malaysia dan di luar negara untuk mempertimbangkan dengan teliti sebelum membuat sebarang pendapat, dan untuk meneliti semula keterangan sebenar didalam kes ini.

5. Yang paling penting, sila baca penghakiman pada hari ini dan yang sebelumnya pada setiap patah perkataan. Ianya memberikan fakta-fakta - sebagaimana buruk pun – bagi kes ini.

6. Sebagai contoh, bagi keterangan DNA, Malaysia mempunyai dua ciri utama dalam aspek penyiasatan DNA. Pertama, kita memerlukan 16 bacaan daripada 16 bacaan yang sepadan. Tiada negara yang menuntut keperluan yang lebih tinggi – yang tertinggi, seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat, membenarkan keperluan bacaan yang lebih rendah. Kesemua bacaan DNA yang menyokong kes ini adalah berpadanan dengan bacaan 16 daripada 16 - dalam erti kata lain, padanan sempurna ('full flush'). Dan kesemua DNA adalah didapati daripada semen, yang mana lebih dipercayai berbanding DNA yang didapati daripada peluh. Anda tidak boleh sesekali mencuri, memalsukan atau mencemarinya.

7. Kedua, di Malaysia tidak ada undang-undang yang mewajibkan seseorang untuk memberikan sampel DNA. Apabila Anwar Ibrahim mencabar sampel pihak Pendakwaan di mahkamah, beliau mempunyai peluang untuk menawarkan sampel beliau sendiri, sebagai suatu keterangan baru. Jika benar beliau tidak bersalah, beliau boleh berbuat demikian dan menutup kes ini serta-merta. Namun beliau telah memilih untuk tidak berbuat demikian.

8. Berkenaan dengan Notis Alibi Anwar Ibrahim, beliau pada mulanya telah mengemukakan suatu Notis Alibi yang menyeluruh. Namun beliau telah mengabaikan sepenuhnya apabila ianya telah dibuktikan palsu melalui rakaman CCTV yang ditayangkan kepada mahkamah. Kesemua ini telah dibuktikan lama dahulu.

9. Anwar Ibrahim juga enggan bersumpah dengan nama Al-Quran mengenai kejadian tersebut. Sebaliknya mangsa telah bersumpah dengan nama Al-Quran mengenai butir-butir kejadian tersebut, di Malaysia dan juga di Mekah yang merupakan tanah suci Islam.

10. Kes seperti ini, di mahkamah tertinggi di Malaysia, adalah terlalu teknikal: dalam semua proses undang-undang yang sedia ada, dan dalam semua aspek keterangan, terdapatkah kemungkinan di mana proses sewajarnya tidak diikuti? Terdapatkah sebarang teknikaliti? Pada hari ini, jawapan daripada Hakim- hakim adalah tidak. Pada hari ini, mereka memutuskan pada keputusan yang telah dibuat, serta keterangan yang telah lama diuji dan dibentangkan.

11. Tuduhan besar yang sering diulangi oleh Anwar Ibrahim bahawa kes ini mempunyai motif politik. Berdasarkan keputusan hari ini, tuduhan tersebut adalah palsu.

12. Kebebasan badan kehakiman Malaysia termaktub di dalam perlembagaan. Kes ini telah di bawa oleh seorang individu, iaitu pekerja Anwar Ibrahim, yang telah membuat satu aduan polis yang mana beliau telah menuduh Anwar Ibrahim memberi tekanan yang tidak wajar sebagai majikannya untuk memaksa beliau melakukan hubungan seks dengannya.

13. Tiada sesiapapun yang boleh menetapkan, mengolah dan memutar belit suatu proses perundangan yang mantap dan menyeluruh, termasuklah keputusan-keputusan yang memihak kepada Anwar Ibrahim. Untuk mendakwa sedemikian, adalah keterlaluan terhadap Yang Arif-Yang Arif Hakim, dan ianya adalah tidak mapan kepada mereka yang membaca apa yang telah diputuskan oleh Yang Arif-Yang Arif Hakim pada hari ini dan mengapa.

14. Tindakan bermotifkan politik di sini hanyalah melihat kepada Anwar Ibrahim dan penyokongnya yang menuntut agar kes ini digugurkan.

15. Harus dipertimbangkan bagaimana perkara ini mulanya berbangkit. Sebagaimana kita imbas kembali Hansard (tarikh 22 Oktober dan 18 Disember 1997) , buat pertama kali seorang MP berdiri memegang akuan bersumpah yang menuduh Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan seksual – homoseksual – assault, Anwar Ibrahim pada ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri dan pihak yang menuduh beliau bukanlah daripada kalangan ahli kerajaan tetapi sebaliknya MP pembangkang daripada parti DAP. Dan siapa pula penuduh beliau yang sebenarnya? Arwah Karpal Singh, peguam yang hebat. Mana-mana pengakuan penglibatan jenayah Anwar Ibrahim dan kejatuhan politik beliau perlu dilihat kepada siapa yang memulakannya.

16. Tetapi bagi mangsa dan juga Malaysia, perkara ini telah menjadi sesuatu yang mengerikan dan berpanjangan. Di pengakhiran kes ini, saya minta pihak media yang ada untuk melihat kepada fakta kes ini dengan adil, menganalisis penghakiman dengan teliti serta menjalankan perkara-perkara ini dengan sebaik yang mungkin demi masyarakat.

17. Saya risau dengan segelintir pihak media yang menganggap mahkamah-mahkamah di Malaysia bertindak dengan adil hanya apabila keputusan mahkamah memihak kepada Anwar Ibrahim dan mendakwa sistem kehakiman kita telah dikompromi apabila mahkamah memberikan keputusan yang sebaliknya.

18. Kita semua mempunyai tanggungjawab kepada mangsa, lelaki muda yang merupakan pembantu peribadi Anwar Ibrahim, yang mendapat perhatian negara dan antarabangsa disebabkan kesilapan yang bukan dilakukannya olehnya. Sepertimana kesemua mangsa-mangsa jenayah berat, beliau mempunyai hak untuk melihat aduannya disiasat dengan teratur oleh pihak polis dan mahkamah.

19. Jadi, ini bukannya cerita tentang politik, ini sebenarnya adalah cerita tentang manusia - dan dari perspektif badan kehakiman, ia adalah peranan sistem keadilan negara kita bagi membolehkan kedua-dua belah cerita untuk didengar di mahkamah.

20. Yang paling penting sekali, semua ini adalah cerita tentang semua manusia, tanpa mengira kuasa, mereka adalah sama rata di sisi undang-undang.

astroawani.com

Persoalannya, adakah hujah-hujah ini cukup kuat bagi membuktikan Saiful menjadi mangsa liwat Anwar? Apa-apa pun, sehingga kini tiada siapa tahu sama ada perkara tersebut benar-benar terjadi atau tidak. Apa pula komen anda?

Leave a comment