Selepas 38 Tahun, Bekas Ibu Pejabat Maybank Di Jalan Tun Perak Kini Dibuka Untuk Jualan

Bangunan yang kini dikenali sebagai Menara Tun Perak itu terletak di Jalan Tun Perak dan mula beroperasi selepas siap dibina pada 1988.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Menara Maybank yang pernah menjadi antara mercu tanda ikonik Kuala Lumpur kini dibuka untuk jualan selepas hampir 38 tahun beroperasi sebagai ibu pejabat korporat institusi perbankan berkenaan

Bangunan yang kini dikenali sebagai Menara Tun Perak itu terletak di Jalan Tun Perak dan mula beroperasi selepas siap dibina pada 1988.

Menara setinggi 244 meter itu sebelum ini menjadi antara bangunan paling menonjol di ibu negara, selain pernah memegang gelaran bangunan tertinggi di Malaysia sebelum kemunculan Menara Berkembar Petronas.

SAYS.com
Image via The Edge Malaysia

Walau bagaimanapun, Maybank secara rasmi memindahkan ibu pejabat korporatnya ke Merdeka 118 pada 6 Mei lalu, sekali gus menamatkan hampir empat dekad operasi di bangunan berkenaan.

Pada 28 Julai lalu, Maybank turut mengumumkan penjenamaan ibu pejabat baharunya sebagai Menara Merdeka Maybank, manakala bangunan lama itu dinamakan semula sebagai Menara Tun Perak.

Ditawarkan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa

Difahamkan, bangunan berkenaan kini ditawarkan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa menerusi proses bidaan terbuka.

Urusan penjualan itu dikendalikan oleh firma perunding hartanah Knight Frank Malaysia dan CBRE|WTW, dengan pelabur berpeluang memperoleh keseluruhan atau sebahagian kepentingan dalam hartanah tersebut.

Menara Tun Perak merupakan bangunan pejabat pegangan bebas setinggi 55 tingkat yang turut dilengkapi tiga tingkat parkir bawah tanah.

SAYS.com
Image via Rizal Hakimm Punyer (Facebook)

Ia mempunyai keluasan lantai kasar melebihi 2.33 juta kaki persegi, manakala keluasan lantai boleh sewa dianggarkan sekitar 18,000 kaki persegi bagi setiap tingkat.

Bagaimanapun, harga permulaan jualan tidak didedahkan kepada umum. Tarikh tutup bagi Peringkat Pertama Pernyataan Minat (EOI) ditetapkan pada 27 November 2026, jam 12 tengah hari.

Berpotensi ditukar menjadi hotel atau apartment servis

Menariknya, bakal pemilik bangunan itu mempunyai pilihan untuk meneroka pelbagai potensi pembangunan semula, termasuk menaik taraf ruang pejabat sedia ada atau menukarkannya kepada hotel dan apartmen servis.

Malah, pembangunan bercampur yang menggabungkan elemen kediaman, komersial dan gaya hidup turut dilihat sebagai antara pilihan masa depan bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, sebarang perubahan fungsi perlu mengambil kira kajian kebolehlaksanaan serta mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Lokasinya yang strategik berhampiran Petaling Street, Central Market dan Dataran Merdeka turut menjadi antara kelebihan utama bangunan berkenaan.

Selain dikelilingi kawasan tumpuan pelancongan dan perniagaan, menara itu juga mempunyai akses mudah ke rangkaian pengangkutan awam.

SAYS.com
Image via Malay Mail

Penjualan Menara Tun Perak ini sekali gus membuka peluang kepada pemilik baharu untuk menghidupkan semula bangunan bersejarah berkenaan dengan identiti dan fungsi berbeza.

Walaupun tidak lagi menjadi ibu pejabat Maybank, bangunan yang diinspirasikan daripada bentuk hulu keris Melayu itu kekal sebagai antara mercu tanda yang cukup sinonim dengan landskap Kuala Lumpur.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS