SUKMA 2024: Atlet Angkat Berat Perak, Qistina Qharisya Suffia Pecah Tiga Rekod Kebangsaan
Atlet wanita berusia 19 tahun itu turut merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Buat julung-julung kalinya, atlet angkat berat wanita Perak, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani melakar sejarah tersendiri apabila berjaya memecahkan tiga rekod kebangsaan kategori 45 kilogram (kg) wanita sekali gus merangkul pingat emas pada SUKMA 2024
Menurut laporan Bernama, ini penyertaan kedua buat atlet wanita berusia 19 tahun itu pada temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan dan berjaya memecahkan rekod acara snatch dengan angkatan seberat 65kg, clean and jerk (79kg) seterusnya mendominasi podium dengan angkatan keseluruhan 144kg.
Pencapaian itu sekali gus memadam tiga rekod lama dicatatkan atlet negara Nurul Afiqah Zamzuri pada Sukan SEA Filipina 2019 dengan angkatan snatch seberat 59kg, diikuti 77kg dalam clean and jerk manakala angkatan keseluruhan berjumlah 136 kg.
Tambah Qistina lagi, kemenangan itu membakar semangatnya untuk mencapai kejayaan lebih tinggi dalam sukan angkat berat.
“Sebagai atlet banyak perlu dikorbankan terutama terpaksa berjauhan dalam tempoh lama dengan keluarga ketika menjalani latihan, namun itu tidak menghalang keinginan saya untuk mencipta lebih banyak kejayaan terutama di peringkat antarabangsa,” katanya.
Untuk rekod, acara angkat berat telah bermula sejak semalam hingga 23 Ogos di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dengan menawarkan keseluruhan 16 pingat emas
Pingat perak acara berkenaan dimenangi Irene Jane Henry dari Sabah dengan 137 kg jumlah angkatan manakala atlet tuan rumah Katierina Bojing di kedudukan pingat gangsa merekodkan 108kg.
Kategori 55kg lelaki menyaksikan badang Perlis Muhammad Azri Irfan Azhar membawa pulang pingat emas dengan 230kg angkatan iaitu 100kg dalam snatch diikuti 130kg dalam clean and jerk, mempertahankan emas dimenangi pada SUKMA 2022.
Mohamad Rahimi Sulaiman dari Pahang membawa pulang pingat perak dengan perbezaan jumlah angkat hanya 1kg diikuti atlet Wilayah Persekutuan Ahmad Darwish Zharfan Ahmad Tharmidzi melengkapkan kedudukan podium dengan angkatan 211kg.
Bagi kategori 61kg lelaki, atlet Kedah Muhammad Amin Hakimi Mohd Shukry unggul menggondol emas hasil angkatan seberat 234kg manakala perak milik Muhammad Muslim Mohd Anwar dari Terengganu dengan jumlah angkatan 229kg manakala Mark Dylan Marcus (Sabah) meraih gangsa merekodkan bebanan 216kg.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!