[TERKINI] Orang Ramai Sudah Dibenar Bergerak Melebihi Radius 10KM
Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri masih dalam senarai yang dilarang.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 2 yang lalu telah menetapkan bahawa rakyat tidak boleh bergerak atau melakukan perjalanan melebihi radius 10 kilometer
Menerusi satu warta kerajaan yang dikeluarkan sebelum ini, individu yang keluar dari rumah untuk membeli barang keperluan harian, makanan atau mahu mendapatkan rawatan di klinik, dihadkan perjalanan kepada tidak lebih 10 kilometer dari kediaman masing-masing.
Terdahulu, syarat-syarat pergerakan untuk fasa kedua PKP adalah di bawah Peraturan 4 (1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Terkawal Tempatan).
Bawah peraturan itu, hanya 1 orang dibenarkan dalam kenderaan, kecuali bagi mereka yang melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan kesihatan atau perkhidmatan perubatan, dan mereka yang memerlukan pemandu dalam keadaan tertentu seperti ketua keluarga atau orang kurang upaya.
Terbaru, kerajaan hari ini berkata peraturan tersebut tidak lagi ada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
Justeru dengan kata lain, orang ramai sudah dibenarkan bergerak melebihi radius 10km di bawah PKPB yang berkuatkuasa hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, peraturan itu yang terpakai dalam PKP terdahulu sudah tidak dilaksana di bawah PKPB. Namun katanya, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan dan dalam senarai yang dilarang.
"Tidak ada lagi radius 10 kilometer dalam peraturan PKPB. Tidak ada lagi. Bagaimanapun, rentas negeri masih dalam senarai yang dilarang. Masih belum dibenarkan dalam PKPB ini," katanya.