5 Tips Jimat Belanja Di Bulan Ramadan Untuk Yang Masih 'Single'
Kalau tak rancang perbelanjaan dengan baik, dompet boleh koyak di param!
Ramai orang beranggapan bahawa adalah lebih mudah untuk berjimat-cermat dan menabung di bulan Ramadan
Ini mungkin kerana sebelum tibanya bulan puasa, biasanya kita akan mengeluarkan sejumlah belanja semasa sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Bila puasa, kuranglah sedikit masa makan.
Tetapi hakikatnya, di bulan Ramadan lah dompet kita benar-benar diuji
Juadah berbuka, kalau tak penuh meja tak sah. Tidak dilupa makanan untuk sahur. Bagaimana pula dengan makanan moreh? Aduh aduh, terlupa pula kena menabung untuk raya.
Jadi, kami ingin kongsikan beberapa tips jimat belanja di bulan Ramadan yang praktikal, khas untuk mereka yang masih bujang:
1. Elakkan membeli terlalu banyak makanan yang kurang mengenyangkan seperti kuih-muih
Jika kamu berbuka puasa dengan kuih-muih atau kudap-kudapan, perut akan cepat kenyang, cepat juga lapar balik. Esoknya, kamu akan jadi extra kebulur dan lebih cenderung untuk berbelanja ikut nafsu. Ketika inilah pembaziran boleh terjadi.
2. Elakkan beli makanan berat seperti nasi, nasi ayam, nasi beriyani atau mi goreng di param (pasar ramadan), sebaliknya belilah di restoran atau kedai biasa
Belilah makanan seperti ini di restoran atau kedai makan yang kamu biasa kunjungi kerana ia dijamin sedap dan harga juga berpatutan sejajar dengan kualiti. Kamu pun sudah boleh bajet awal-awal harga makanan tersebut.
3. Bertukar-tukar juadah berbuka puasa dengan rakan-rakan
Berpakatlah dengan rakan-rakan yang sama bujang untuk bertukar-tukar kuih atau juadah berbuka. Kamu bukan saja boleh rasa pelbagai jenis makanan, tetapi juga boleh berjimat dan tidak membazir. Silaturrahim pun terjaga.
4. Jika harus ke pasar atau bazar Ramadan, bawa duit yang cukup-cukup sahaja
Mungkin kamu boleh cuba bawa cuma RM10 bila ke bazar Ramadan. Dengan duit yang cukup-cukup ini, kamu akan jadi lebih berhati-hati ketika memilih makanan untuk dijadikan juadah berbuka. Takdelah kamu main beli je.
5. Fokus kepada hari raya
Tumpukan perhatian kamu kepada hari raya yang bakal tiba. Rancang baju raya apa yang kamu nak beli atau berapa duit raya yang ingin kamu hulurkan kepada kedua orang tua. Bila kamu kekal fokus, kamu akan lebih berhati-hati ketika berbelanja di bulan Ramadan.