Lebih 16 Ribu ‘Shares’ Di Facebook, Ini Tips Berguna Untuk Ibu Bapa Yang Ada Ramai Anak
Anak-anak kita tak betul puncanya dari kita juga.
Perkongsian tips ini diambil dari post Baharuddin Mohamed yang telah mendapat lebih 16 ribu share di Facebook
Anak saya sembilan orang dan tujuh daripadanya telah bersekolah. Setiap pagi macam berperang kalau hendak ke sekolah.
Jam 5.30 pagi dah bangun. Kalau tak disuruh mandi, memang tak pergi mandi. Jika tak ditegur, memang tak gosok baju.
Banyak yang hilang waktu pagi. Buku hilang, stokin hilang, kotak pensel hilang. Saya pun kadang kala boleh hilang sabar.
Itu belum lagi yang baru nak siapkan kerja sekolah. Baru beritahu nak kena beli itu dan ini. Baru perasan yang lencana sekolah dah tanggal dan belum dijahit.
Semuanya mak... Semuanya mak... Riuh macam pasar pagi.
Tapi itulah ragam anak-anak yang kadang kala menghiburkan.
.
Saya dapat petua daripada seorang pak imam masjid di kampung saya. Semua anak-anaknya berjaya. Saya tanyakan apa rahsianya. Dia berikan beberapa tips.
Katanya,
1. Setiap pagi jangan marah anak-anak. Nanti anak-anak akan ada masalah untuk terima ilmu di sekolah.
2. Jangan gaduh pagi-pagi. Jika pagi mereka bermula negatif, maka negatiflah sepanjang hari.
3. Setiap malam sebelum masuk tidur, pesankan pada mereka supaya siapkan kerja sekolah, susun beg dan buat persiapan awal untuk ke sekolah setiap pagi.
4. Sebelum mereka pergi ke sekolah dan mereka bersalaman dengan ibu bapa, pandang mata mereka. Berikan senyuman dan berikan satu ciuman pada mereka. InshaaAllah anak itu mudah menerima ilmu yang diajar di sekolah.
5. Maafkan anak-anak kita. Ibu bapa jangan ada rasa dendam dengan anak-anak. Jangan mereka selalu dimarah dan diherdik. Maafkan mereka dan meminta maaf pada mereka.
.
6. Anak yang besar dan remaja, solat berjemaah subuh dan minta dia membaca Al-Quran semuka dua.
7. Jangan lupa untuk doakan anak kita setiap hari.
Katanya lagi, dengan anak-anak jangan berkecil hati. Elakkan berkecil hati dengan anak-anak kerana itu punca anak derhaka.
Jika ada yang tidak berpuas hati dengan anak-anak cepat-cepatlah memaafkannya. Jangan sampai dibawa ke tidur. Anak itu akan menjadi penderhaka kepada ibu bapanya jika anak itu tidak dimaafkan.
Jika dibiar terus, anak itu akan terus menjadi derhaka. Derhaka seorang anak kepada ibu bapanya berdosa besar. Ditakuti keberkatan buat anak itu tiada dalam perjalanan hidupnya.
Begitulah halusnya pengajaran itu buat saya. Anak-anak kita tak betul puncanya dari kita juga. Dari berusaha membetulkan anak-anak, baik kita fokus betulkan diri kita sebagai ibubapa.
Beliau juga turut berkongsi tips untuk ibu bapa yang mempunyai anak lelaki:
1. Tak boleh garang memanjang dengan mereka, perlu jadi kawan.
2. Mereka kurang pandai mengurus dan mengatur hidup mereka, plankan hidup mereka dari awal. Tentukan target mereka jangka pendek dan jangka panjang.
3. Berikan tanggungjawab pada mereka. Mereka akan belajar pikul tanggungjawab sebagai anak lelaki.
4. Selalu berikan nasihat melalui tauladan supaya mereka lihat depan mata.
5. Jangan terlalu diberi kebebasan untuk membuat keputusan. Mereka remaja selalunya akan membuat keputusan mengikut emosi. Jaga gerak-geri mereka, ibu bapa perlu berkawan dengan kawan-kawan anak kita.
Sebuah puisi yang ditulis Baharuddin Mohamed buat anak-anaknya
Anakku
Hidup bukan hanya perlu semangat. Tekala hilangnya semangat, kehidupan entah kemana. Hidup perlu berseni, belajarlah seni kehidupan.
Anakku
Hidup perlu pantas memotong masa, jika tidak masa pasti membunuhmu.
Anakku
Kehidupan seperti ombak, membadai dan kadangnya menganas. Larilah ke pantai tika awan mendung.
Anakku
Seni Kehidupan perlu belajar dari semut, tidak cepat mengalah.
Anakku
Hidup perlu pandai bersendiri, membilang bintang di langit, membaca mana ikan banyak timbul
Anakku
Berkawanlah dengan singa, walaupun kau masih pelanduk. Kurangnya harimau takut denganmu.
Anakku
Ilmu ini untukmu, tidak ku tahu apa perasaanmu. Ayah mu sayang kamu.
Anakku
Kerja ini, usaha ini, semua bukan untukku dan bukan untuk mu. Kerana agama dan masa depan kita.