Twin Tower India Dibina Mirip Menara Berkembar Petronas, Harga Cecah RM1.5 Juta
Sama macam KLCC!
Cover image via Angat KumarFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah bangunan atau struktur hiasan bagi sambutan perayaan Durga Puja di Kalyanpur, daerah Munger, India, mencuri perhatian apabila dibina dengan menampilkan replika Menara Berkembar Petronas di Malaysia

Menurut laporan tv9hindi, bangunan yang dibina bagi upacara pemujaan Dewi Durga itu menelan belanja sekitar tiga crore rupee (kira-kira RM1.5 juta), sekali gus menjadikannya antara tarikan utama sambutan tahun ini.
Lebih menarik, tradisi Durga Puja di kawasan berkenaan sudah berusia lebih 363 tahun dan terus menarik kehadiran penganut serta pengunjung dari pelbagai daerah.
Difahamkan, bangunan berkenaan dihiasi dengan pelbagai elemen menarik termasuk ukiran kaca, pintu gerbang LED, pencahayaan moden serta pertunjukan laser.
Pengunjung juga bakal disambut dengan struktur air terjun di pintu masuk utama, manakala satu bahagian khas yang diinspirasikan daripada Victoria House menampilkan kelibat Dewa Shiva.
Belanja meningkat setiap tahun

Pembinaan bangunan bertemakan mercu tanda terkenal dunia itu merupakan kesinambungan tradisi menghasilkan reka bentuk unik sejak 2021.
Pada tahun berkenaan, bangunan diinspirasikan daripada Hawa Mahal di Jaipur dengan kos sekitar 80 lakh rupee (RM400,000).
Pada 2022, tema Hotel Taj di Mumbai pula dipilih dengan perbelanjaan kira-kira satu crore rupee (RM500,000).
Setahun kemudian, reka bentuk Kuil Meenakshi Amman di Tamil Nadu menjadi pilihan dengan kos sekitar 1.5 crore rupee (RM750,000).
Pada 2024, bangunan bertemakan Burj Khalifa di Dubai dibina dengan kos dua crore rupee (RM1 juta), sebelum reka bentuk Kuil Arun di Bangkok, Thailand, dipilih pada 2025 dengan perbelanjaan sekitar 2.5 crore rupee (RM1.25 juta).
Tahun ini, replika Menara Berkembar Petronas dipilih dengan kos mencecah tiga crore rupee (RM1.5 juta), sekali gus menjadi projek paling mahal sepanjang enam tahun berkenaan.
Lebih 100,000 pengunjung dijangka hadir

Bagi merealisasikan reka bentuk berskala besar itu, tukang mahir dari Bengal Barat dan Jharkhand dilaporkan bekerja siang dan malam, manakala artis dari Delhi serta Uttar Pradesh mengendalikan kerja ukiran dan hiasan kaca.
Penganjur menjangkakan lebih 100,000 pengunjung akan hadir sepanjang sambutan tahun ini, termasuk dari daerah berdekatan seperti Bhagalpur, Banka, Khagaria, Jamui, Lakhisarai, Begusarai dan Purnia.
Pengarah Urusan Hariom Homio merangkap doktor homeopati, Dr Nitish Dubey, berkata sambutan berkenaan terus dianjurkan dengan meriah setiap tahun hasil kepercayaan dan sokongan masyarakat.
Selain upacara keagamaan, acara tahun ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis terkenal termasuk penyanyi Bhojpuri, Pawan Singh, penyanyi Kalpana Patowary serta penyanyi rakyat Bharat Sharma.
Bagi menguruskan jumlah pengunjung yang ramai, empat pintu keluar disediakan di kawasan bangunan, dengan ahli kelab belia Kalyanpur dan penduduk setempat membantu memastikan kelancaran pergerakan orang ramai.
Gabungan seni bina ikonik, pencahayaan moden dan tradisi keagamaan yang berusia ratusan tahun menjadikan sambutan Durga Puja di Kalyanpur antara acara yang dinanti-nantikan masyarakat setempat.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


