Video Calon SPM Pekak & Bisu Minta Restu Guru Ini Buat Ramai Orang Tersentuh & Sebak
Semoga berjaya adik-adik semua!
Seperti yang kita tahu peperiksaan SPM telah pun bermula semalam.
Dan sudah menjadi satu kebiasaan buat calon-calon SPM untuk memohon restu guru-guru mereka sebelum melangkah menduduki peperiksaan besar tersebut.
Baru-baru ini, dua buah video viral di laman Facebook yang memaparkan beberapa pelajar pekak dan bisu sedang memohon restu dari gurunya. Video-video tersebut telah dikongsikan oleh guru itu sendiri yang bernama Cikgu Duzaimah.
Video yang masing-masing berdurasi 7 minit 27 saat dan 7 minit itu menunjukkan seorang guru yang dipanggil Cikgu Zimah memberi nasihat dan kata-kata akhir kepada pelajar-pelajar istimewanya sebelum mereka menduduki peperiksaan.
Rata-rata netizen tersentuh dengan video tersebut dan mendoakan agar pelajar-pelajar tersebut berjaya dalam peperiksaan mereka.
Seperti yang sering dilakukan pelajar-pelajar lain, seorang pelajar pekak, Anas telah datang berjumpa dengan Cikgu Zimah dan meminta beliau menghalalkan segala ilmu yang telah diberikan
Pelajar yang bernama Anas itu pada mulanya enggan memakai alat bantu pendengaran dan meminta Cikgu Zimah menggunakan sign language kerana khuatir dia akan menangis sekiranya mendengar nasihat melalui suara gurunya itu.
Dia memohon maaf kepada gurunya itu kemudian Cikgu Zimah sebagai seorang manusia biasa turut memohon maaf kepada anak muridnya atas segala kekurangan yang beliau lakukan sepanjang menjadi guru kepada mereka.
"Anas tak ada dosa dengan Cikgu Zimah. Kosong-kosong. Cikgu Zimah pun nak minta maaf kalau cikgu ada dosa dengan Anas," kata guru tersebut.
Tiada apa yang diharapkan oleh guru tersebut selain melihat anak muridnya itu lulus di dalam peperiksaan.
"Cikgu Zimah tahu nak dapat A dan B tu satu benda yang susah. Jadi kalau Anas dapat C Cikgu Zimah dah bersyukur sangat," kata guru tersebut sambil memegang tangan pelajar tersebut.
Pelajar kedua pula bernama Faiz. Dia seorang pelajar yang bisu dan pekak. Guru tersebut terpaksa menggunakan sign language untuk berkomunikasi dengannya.
Apa yang membuatkan orang ramai tersentuh dengan luahan Faiz, di akhirat nanti dia berhasrat ingin menarik tangan gurunya itu ke syurga bersama-samanya.
Luahan Faiz tersebut betul-betul membuatkan guru terbabit terharu dan mengalirkan air mata. Kata cikgu itu lagi hubungan mereka tidak terhenti di situ, beliau memberitahu anak muridnya itu hubungan mereka akan kekal sampai bila-bila.
Selain Anas dan Faiz, Cikgu Zimah turut didatangi oleh dua pelajar yang lain. Kelihatan salah seorang pelajar perempuan sedang menangis lalu memeluk guru tersebut. Nasihat sama juga telah diberikan guru terbabit kepada pelajar-pelajarnya itu.
Post tersebut sehingga kini mendapat lebih 5 ribu perkongsian dan lebih 700 ribu tontonan. Orang ramai memuji guru terbabit dan dalam masa yang sama mendoakan pelajar-pelajar istimewa tersebut moga dipermudahkan dalam peperiksaan.