Wanita Bakar Motosikal Di Ipoh, Bengang Kenderaan Ditarik Lepas 20 Bulan Tak Bayar
Insiden dipercayai berlaku di Jalan Pokok Assam.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang wanita berusia lingkungan 40 tahun telah ditahan polis selepas videonya tular membakar sebuah motosikal di Jalan Masjid Pokok Assam, Ipoh
Menurut laporan Sinar Harian, wanita itu ditahan sekitar jam 7.30 malam pada Khamis, 26 Disember selepas polis menerima laporan kes tersebut daripada seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.
Menurutnya, wanita berkenaan culas membayar ansuran motosikalnya selama 20 bulan membuatkan kenderaannya ditarik.
"Keadaan itu menimbulkan rasa tidak berpuas hati kepada wanita berkenaan. Wanita itu dikatakan telah menyimbah cecair disyaki petrol ke atas motosikal lalu membakarnya," katanya.
Wanita berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api
"Kanun tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya lagi.
Sebelum ini, tular video berdurasi 1 minit 42 saat memaparkan seorang wanita dengan sengaja menyimbah minyak petrol ke atas motosikal miliknya.
Wanita berkenaan kemudiannya dilihat melemparkan kertas yang telah dibakar ke arah motosikal terbabit menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.
Seorang lelaki dipercayai penarik kenderaan yang merakam video berkenaan memaklumkan bahawa pemilik motosikal terbabit sudah gagal menjelaskan bayaran tertunggak selama 20 bulan.
"Kami tarik motosikal ini dari JCL. Motosikal ini sudah tidak dibayar 20 bulan. Owner simbah minyak dan bakar," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!