Wei Chong-Kai Wun Juara Terbuka Perancis, Bangkit Tewaskan Sze Fei-Izzuddin
Tahniah buat pasangan beregu lelaki negara kita!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan apabila muncul juara Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam aksi final di Arena Grand Paris, hari ini

Menurut laporan Berita Harian, pasangan ranking ke-11 dunia itu mempamerkan kebangkitan menakjubkan selepas tewas pada set pertama sebelum melakar kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 dalam perlawanan yang berlangsung selama 44 minit.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Wei Chong-Kai Wun yang kembali merangkul gelaran selepas kali terakhir menjuarai Masters Malaysia pada Mei tahun lalu.
Dalam perlawanan itu, Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking kelima dunia memulakan aksi dengan cemerlang apabila menguasai set pertama menerusi kemenangan 21-13.
Bagaimanapun, Wei Chong-Kai Wun enggan mengalah apabila bangkit memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Memasuki set ketiga, Wei Chong-Kai Wun terus menguasai gelanggang dengan permainan lebih agresif sehingga lawan gagal memberikan saingan sengit

Mereka akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-7 untuk mengesahkan kejuaraan kejohanan berkenaan.
Kemenangan itu turut menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini terikat 2-2, sekali gus memperlihatkan persaingan sengit antara dua beregu lelaki terbaik Malaysia.
Sebagai juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang hadiah wang kemenangan AS$70,300 (kira-kira RM296,000), manakala Sze Fei-Izzuddin menerima AS$33,250 (kira-kira RM140,000) selaku naib juara.
Kejayaan itu dijangka menjadi pembakar semangat buat Wei Chong-Kai Wun untuk meneruskan momentum positif, memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia serta memburu lebih banyak kejuaraan sepanjang musim ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via