Yayasan Hasanah Bentuk Impak Sosial Melangkaui Dana Menerusi 1,134 Projek Di Seluruh Negara
Usaha kolektif itu telah memberi manfaat kepada lebih 4.01 juta rakyat di seluruh negara.
Cover image via Yayasan HasanahFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Selepas sedekad menggerakkan agenda pembangunan sosial, Yayasan Hasanah merumuskan satu kesimpulan penting: transformasi komuniti yang mampan memerlukan sokongan yang melangkaui pembiayaan semata-mata
Yayasan berteraskan impak milik Khazanah Nasional Berhad ini mendapati bahawa walaupun dana kewangan mampu mencetuskan perubahan awal, faktor yang memastikan kemajuan itu bertahan lama adalah elemen yang kurang kelihatan seperti kepercayaan, kepimpinan tempatan dan hubungan kerjasama yang kukuh. Refleksi mendalam ini menjadi teras kepada The Hasanah Report 2025 bertemakan "The Long Harvest" yang dilancarkan baru-baru ini.
Melalui sokongan dana daripada Kementerian Kewangan (MOF), Yayasan Hasanah telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi masyarakat sivil, agensi kerajaan, institusi akademik, dan sektor swasta. Usaha kolektif ini telah memberi manfaat kepada lebih 4.01 juta rakyat menerusi 1,134 projek di seluruh negara.
Pada tahun 2025 sahaja, Hasanah terus memperluas rangkaiannya dengan menyokong 172 projek baharu serta mengalu-alukan 102 rakan kerjasama baharu.

Rakan-rakan penerima geran, pemimpin komuniti dan ejen perubahan yang diketengahkan dalam The Long Harvest berkumpul sempena pelancaran The Hasanah Report 2025.
Image via Yayasan Hasanah
Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, menyatakan bahawa takrifan organisasi terhadap 'impak' telah berevolusi mengikut masa.
"Pada peringkat awal, kami fokus kepada metrik luaran, jumlah projek dan bilangan penerima manfaat. Namun kini, kami bertanya soalan yang lebih mendalam: apakah yang memastikan kemajuan terus berkembang selepas sesuatu projek dimulakan?
"Kejayaan sebenar bukan diukur melalui tempoh komuniti bergantung kepada kami, tetapi sejauh mana mereka mampu bergerak ke hadapan dengan yakin secara berdikari," katanya.
Tujuh kisah realiti komuniti dan koleksi filem pendek berbentuk dokumentari
Laporan tahun ini mengetengahkan tujuh kisah unik yang memaparkan realiti, cabaran, dan aspirasi komuniti di seluruh Malaysia. Antara inisiatif yang mendapat perhatian termasuklah:
- Perak: Usaha memulihkan ekosistem dan hutan bakau di pesisir pantai yang terdedah kepada hakisan.
- Sabah: Meningkatkan keterlibatan pelajar dalam pendidikan melalui sukan bola sepak, serta memperkukuh aspek kesihatan dan mata pencarian di Pulau Omadal.
- Sarawak: Memelihara warisan budaya sekaligus membuka peluang pemulihan dan pembangunan kehidupan baharu.


Bagi memberikan gambaran yang lebih dekat mengenai individu yang memacu perubahan ini, Hasanah turut melancarkan koleksi filem pendek berbentuk dokumentari yang memaparkan kisah-kisah di sebalik laporan tersebut.
Melangkah ke hadapan, Yayasan Hasanah komited untuk terus responsif terhadap dinamika landskap sosial yang sentiasa berubah, termasuklah cabaran perubahan sumber pendapatan, tekanan alam sekitar, sehinggalah kepada realiti isu masyarakat yang semakin menua di Malaysia.
Orang ramai kini boleh mengakses laporan penuh dan menonton siri dokumentari berkenaan di laman web rasmi The Hasanah Report 2025.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


