Zayn Rayyan Dibunuh Di Tempat Lain, Sebelum Mangsa Dicampak Di Sungai Berdekatan Rumah
Allahuakbar, kesiannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Polis percaya kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan, 6 tahun yang ditemui mati di aliran anak sungai berhampiran kediamannya, dibunuh di lokasi lain sebelum diletakkan di sebuah anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai
Menerusi laporan Buletin TV3, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan hasil bedah siasat, mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemui.
“Apa yang dapat dirumuskan dari post mortem dan usaha yang dlakukan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan masyarakat setempat selama dua hari, walaupun telah melalui tempat sama, namun tidak bertemu pun dengan mangsa.
“Akan tetapi, mangsa ditemui kemudian pada hari kedua dan ketika itu lewat malam.
“Jadi dari situ kita rumuskan bahawa mangsa tidak mati di tempat kejadian. Dia mati di tempat lain dan diletakkan di situ dan ini juga mengambil indikator dari post mortem,” jelasnya.
Katanya, pihaknya juga sudah merangka beberapa strategi dan sedang merencana operasi bagi pencarian suspek.
“Seperti semua sedia maklum, Ketua Polis Selangor telahpun memberitahu kes telah diklasifikasikan semula daripada kes orang hilang ke 302 iaitu bunuh,” jelasnya lagi.
Terdapat kecederaan pada leher, 'defensive wounds' di tubuh Zayn Rayyan
“Kita kesan ada ‘defensive wound’ dan selain itu saya rasa demi menjaga maruah arwah dan keluarga, cukup itu sahaja saya kongsi.
“Jadi saya rasa demi menjaga maruah arwah dan keluarga, memadai saya cakap itu. Tetapi berdasarkan post mortem, kemungkinan mangsa telah meninggal dunia dalam lingkungan 48 jam," katanya.
Tambahnya, masih terlalu awal untuk menyatakan siapa suspek.
Beliau tidak menolak kemungkinan suspek dalam kejadian ini melibatkan individu yang tinggal di kawasan kejadian, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Dari apa yang saya diberitahu, ia bukan kawasan seharian, jadi untuk seseorang yang pergi ke tempat itu, dia mesti tahu kawasan itu.
“Kita telah rakam keterangan ibu dan bapa mangsa, dari maklumat yang saya terima itu, lokasi terbabit bukan lokasi pejalan kaki yang digunakan ramai.
“Bagi pihak ibu bapa, saya merayu kepada penduduk di sini. Jika ada saksi atau ada maklumat tidak kira sekecil mana pun, tampil membantu kami membongkar kes ini.
“Kita akan ‘backtrack’ siasatan ke lokasi awal kes ini, ini tindakan yang kita akan lakukan sekarang,” katanya lagi.
Untuk pengetahuan semua, ini adalah jenayah kejam dan pihak polis akan lakukan yang terbaik untuk mengesan pelakunya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!