Zayn Rayyan Hilang Ditemui Meninggal Dunia Di Anak Sungai Berhampiran Kawasan Rumahnya
Salam takziah buat keluarga arwah Zayn Rayyan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kanak-kanak autisme yang hilang di kawasan kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai, tengah hari Selasa ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan kediamannya pada jam 10 malam, Rabu
Menerusi laporan Berita Harian, mayat Zayn Rayyan berusia enam tahun itu ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari mangsa.
Mangsa ditemui terbaring di sungai yang terletak pada jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Setakat ini pihak polis sudah menutup laluan belukar dari kawasan kediaman menuju ke lokasi mayat ditemui.
Individu pertama yang menemui adik Zayn tergerak hati nak mencari di anak sungai
Penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai, Faizol Najib Abdul Naim, 45, berkata terdetik dalam hatinya untuk meninjau di kawasan anak sungai.
"Saya tergerak hati untuk mencari di kawasan hujung anak sungai walaupun sebelum ini Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan pencarian di lokasi sama.
"Sepatutnya saya bersama empat penduduk lain dan dua anggota polis melakukan pemeriksaan di unit kediaman yang diarahkan, selepas kami penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan namun hati saya tergerak untuk menuju ke kawasan belukar di belakang apartment sehingga menuju ke anak sungai.
"Pada waktu itu keadaan amat gelap dan ketika saya menyuluh ke arah sungai, saya dapati adanya sekujur tubuh dalam keadaan mengiring," jelasnya.
Pencarian di kawasan anak sungai di Apartmen Idaman, Damansara Damai sudah dilakukan dua kali sebelum mayat Zayn Rayyan ditemui
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, yang berada di lokasi kejadian turut mengesahkan penemuan mangsa.
"Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita baru menemui mayat mangsa dan kini dalam peringkat menyiasat lokasi sekitar kawasan mayat ditemui," katanya.
Penemuan kanak-kanak berkenaan sejurus Op Tutup rumah ke rumah yang digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula 9 malam.
Menerusi operasi itu, 40 anggota polis bersama 60 penduduk setempat bekerjasama mencari di setiap 2,484 unit kediaman di 18 blok Apartmen Idaman.
"Siasatan masih berjalan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
"Polis ingin mengucapkan terima kasih kepada agensi yang terbabit iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat yang turut bersama membantu melakukan pencarian," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!