Gunakan 5 Tips Mudah & Penting Ini Ketika Anda Membeli Buah-buahan Agar Tidak Membazir!
Senang je nak pilih buah tembikai, mangga, betik, nanas dan banyak lagi dengan tips-tips ini!
Malaysia memang kaya dengan buah-buahan tempatan yang sedap-sedap belaka.
Tetapi pernahkah anda membeli buah dan apabila dibuka di rumah, buah tidak semanis seperti yang disangkakan?
Mulai hari ini, anda tidak perlu lagi runsing apabila membeli buah-buahan lagi!
1. Tembikai
Tips 1: Perhatikan bentuk
Rasa manis isi buah tembikai bergantung kepada bentuknya. Contohnya, tembikai 'jantan' yang mempunyai bentuk lonjong mempunyai isi yang berair manakala tembikai 'betina' yang berbentuk bulat mempunyai isi yang manis.
Tips 2: Perhatikan warna kulit
Pastikan buah tembikai mempunyai tompokan kuning krim atau oren pada titik bawahnya. Ini bermakna buah tembikai anda sudah matang dengan sempurna.
Tips 3: Perhatikan tangkai buah
Tangkai buah tembikai yang kering dan kecut bermakna tembikai sudah masak ranum manakala tangkai hijau bermakna tembikai masih muda.
Tips 4: Periksa Bunyi
Untuk memastikan tembikai memang sudah dimasak ranum, tepuk buah tembikai beberapa kali. Jika bunyi seakan-akan kosong, maknanya tembikai sudah cukup matang.
2. Nanas
Tips 1: Tekan buah
Nanas yang sudah matang akan mempunyai tekstur yang empuk apabila ditekan. Elakkan dari membeli nanas yang mempunyai tekstur keras kerana ini bermakna nanas masih muda dan belum sedia untuk dimakan.
Tips 2: Cabut daun di tengah
Keranuman buah nanas boleh dipastikan apabila daun di tengah boleh dicabut dengan mudah.
Tips 3: Hidu aroma
Jika sudah matang, nanas akan mempunyai aroma yang manis dan segar manakala nanas yang muda tidak mempunyai apa-apa aroma. Sekiranya terdapat bau tidak menyenangkan seperti alkohol atau cuka, maknanya nanas sudah terlebih matang dan kemungkinan sudah busuk.
3. Mangga
Tips 1: Perhatikan warna kulit
Mangga yang sudah matang kebiasaannya mempunyai kulit berwarna kuning terang.
Tips 2: Hidu aroma
Mangga yang matang dan manis mempunyai aroma yang sangat harum, manakala mangga yang dipetik dari pokok sebelum matang tidak mempunyai aroma langsung.
4. Durian
Tips 1: Perhatikan bentuk
Bentuk durian yang bulat menandakan isi yang padat berbanding durian yang berbentuk lonjong.
Tips 2: Perhatikan berat buah
Apabila memilih durian berdasarkan berat, pilihlah durian yang ringan kerana dijamin isinya lebih banyak.
Tips 3: Perhatikan tangkai
Tangkai buah durian perlu diambil kira sewaktu membeli kerana tangkai yang pendek dan tebal menandakan isi yang banyak dan padat.
Tips 4: Perhatikan duri
Pastikan durian mempunyai duri yang pendek dan jarang-jarang kerana ini menandakan isi yang padat.
Tips 5: Hidu aroma
Pilih durian yang mempunyai aroma manis untuk mendapatkan isi yang manis juga.
5. Betik
Tips 1: Perhatikan warna kulit
Buah betik yang mempunyai kulit berwarna kemerah-merahan bermakna sudah mencapai kematangan manakala kulit yang berwarna hijau menandakan betik belum matang dengan sempurna.
Tips 2: Tekan buah
Tekan betik untuk memastikan kematangannya. Jika buah betik mempunyai tekstur lembut, maknanya buah sudah sedia untuk dimakan.
Tips 3: Periksa berat buah
Buah betik yang berat kebiasaannya mempunyai isi yang tebal dan padat.
Jika sebelum ini anda hanya bergantung kepada penjual buah, sekarang anda hanya perlu mempraktikkan langkah-langkah di atas untuk membeli buah yang elok
Walaupun perkara ini nampak seperti remeh, tetapi sebenarnya dengan mengetahui cara-cara memilih buah yang betul, anda boleh menjimatkan duit dan juga masa kerana anda tidak akan tersalah membeli buah yang sudah busuk ataupun yang tidak matang lagi.
Untuk dapatkan banyak lagi artikel seperti ini, LIKE Facebook Seismik Makan serta FOLLOW kami di Instagram sekarang!