Rapid KL Sediakan Perkhidmatan Tren & Bas Terpilih Beroperasi 24 Jam Pada 30 & 31 Ogos Ini

Difahamkan, inisiatif ini disediakan bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Enlarge text
Cover ImageCover image via Merdeka360 & Rapid KL

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam bermula 30 Ogos hingga 31 Ogos 2026

Dalam kenyataannya hari ini, Rapid KL memaklumkan inisiatif ini disediakan bagi memudahkan pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Operasi 24 jam ini melibatkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL, merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

"Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama dan diselaraskan berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen.

"Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform," menurut kenyataan tersebut.

SAYS.com
Image via Wikipedia

Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa
laluan bas dan Rapid KL On-Demand (ROD) turut beroperasi selama 24 jam

Menurut Rapid KL, perkara ini sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan.

"Pelanjutan waktu operasi ini dilaksanakan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar.

"Khususnya bagi mereka yang menghadiri sambutan Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos serta acara Sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada pagi 31 Ogos 2026," menurut kenyataan itu.

SAYS.com
Image via Rapid KL

Bas perantara turut disediakan pada tempoh terbabit

Bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 buah bas menerusi dua laluan berikut:

  • MS01: Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 — 2 petang pada 30 Ogos hingga 2 petang pada 31 Ogos
  • MS02: PICC ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 — 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos

Rapid KL memaklumkan perkhidmatan bas perantara percuma ini bertujuan memudahkan akses kepada orang ramai untuk ke kawasan sambutan

"Perkhidmatan percuma ini turut disediakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Putrajaya," katanya.

SAYS.com
Image via Merdeka360

lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan pada 30 dan 31 Ogos mengikut syif

Rapid KL berkata ia bertujuan memastikan kelancaran operasi sepanjang tempoh sambutan bagi menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat.

Rapid KL turut menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk ke lokasi sambutan Hari Kebangsaan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Penumpang turut dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, memastikan baki kad Touch 'n Go mencukupi dan mematuhi arahan petugas, khususnya ketika berada di stesen dan kawasan yang mempunyai kepadatan penumpang tinggi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: