17 Perkara Yang Membuktikan Betapa Berpengaruh Dan Kayanya Jho Low
Harta Jho Low bernilai berbilion ringgit dan tak akan habis. Ini buktinya.
1. Berusia 36 tahun, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan anak kelahiran Pulau Pinang kepada jutawan Larry Low
Nama sebenarnya ialah Low Taek Jho, atau biasa dikenali sebagai Jho atau Jho Low. Jejaka berusia 36 tahun ini adalah anak kelahiran Pulau Pinang kepada jutawan Larry Low.
2. "Arkitek utama" Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kini dikenali dengan nama 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Pengenalan ringkas Jho Low menggambar dirinya sebagai "arkitek utama" Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), sebuah dana pelaburan bebas negeri Terengganu.
3. Memainkan peranan utama dalam UBG Berhad, syarikat milik keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud
Selain TIA yang kini dikenali dengan nama 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau memainkan peranan utama dalam UBG Bhd - syarikat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
4. Memulakan perniagaan The Wynton Group dengan modal permulaan sebanyak RM92.8 juta bersama rakan-rakannya dari timur tengah dan Asia Tenggara ketika belajar di Wharton School of The University of Pennsylvania
"Saya mengambil cuti semester ketika berada di Wharton untuk memulakan sebuah syarikat pelaburan yang dikenali sebagai The Wynton Group. Modal permulaan sebanyak $25 juta dolar (RM92.8mil) telah disediakan oleh keluarga saya dan rakan-rakan saya dari Timur Tengah dan juga Asia Tenggara.
"Kami bermula dengan pelaburan portfolio di seluruh dunia. Selepas itu, kami mengambil keputusan untuk bergerak dari hanya membeli dan menjual saham awam kepada ekuiti persendirian. Sehingga hari ini, pelaburan Wynton adalah bernilai $1 bilion dolar (RM3.7 bilion)," kata Jho Low.
5. Terlibat dengan Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembelian sebuah unit kondo mewah di bangunan Time Warner Center di tengah-tengah bandar New York yang bernilai RM117 juta
Selain itu, Jho Low juga didakwa membeli sebuah penthouse di Time Warner Center yang bernilai RM109 juta dengan menggunakan syarikat rahsia pada 2011.
6. Membantu syarikat perfileman Riza, Red Granite Pictures yang telah menerbitkan filem 'The Wolf of Wall Street' lakonan Leonardo DiCaprio pada 2013 dan 'Dumb and Dumber To' (2014)
Jho Low memainkan peranan penting dalam penerbitan filem 'The Wolf of Wall Street' yang membintangkan pelakon Leonardo DiCaprio.
Sumber berkata Jho Low memperkenalkan DiCaprio kepada Red Granite Pictures, syarikat produksi filem Amerika Syarikat yang pengasas dan pengerusinya adalah Riza Aziz, anak tiri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
7. Mula mendapat perhatian umum apabila beliau dilihat berparti sakan bersama Paris Hilton di Saint Tropez, Perancis pada 2010
Jutawan "kegemaran", Low Taek Jho atau Jho Low telah dikesan berpesta dengan Paris Hilton di Saint-Tropez di selatan-timur Perancis pada tahun 2010.
8. Sekali lagi dilihat meluangkan masa bersama Paris Hilton dan rakan-rakan perniagaannya dari timur tengah dalam satu parti yang lain, juga di Saint Tropez
9. Hubungan baik di antara ibu bapa Paris Hilton dengan Jho Low sedikit sebanyak membantu pengenalan beliau bersama adik beradik Hilton, Paris dan Nicky
"Rick dan Kathy Hilton, ibu bapa Paris dan Nicky adalah antara keluarga hartanah terkemuka yang berpusat di Los Angeles dan saya diperkenalkan kepada keluarga ini melalui rakan baik saya.
"Saya sebenarnya telah mengenali keluarga itu buat sementara waktu sekarang. Jadi begitulah caranya saya kenal Paris dan Nicky," kata Jho Low.
10. Jho Low bersama adiknya, Szen Low juga dilihat bersiar-siar di atas bot di sekitar kota Paris bersama Paris dan Nicky Hilton
Paris Hilton telah menghabiskan harinya di atas bot bersama kakaknya, Nicky Hilton dan jutawan Malaysia, Jho Low.
Waris perempuan Hilton berusia 29 tahun itu (2010) mengenakan pakaian berwarna ungu cerah dengan gelang ular berlian dan kasut tumit tinggi untuk hadir dalam satu sesi penggambaran di atas bot bersama Jho Low, dengan menjadikan menara Eiffel sebagai latar belakang.
11. Mempunyai kenalan dan hubungan baik dengan beberapa artis berpengaruh di Hollywood seperti Usher, Alicia Keys, Jamie Foxx dan lain-lain
12. Menghadiahkan 23 botol Cristal kepada Lindsay Lohan pada majlis hari jadi yang ke-23 pelakon itu di sebuah bar di New York
Lindsay Lohan dikatakan menerima satu kejutan ketika menyambut hari jadinya yang ke-23 di sebuah bar di pusat bandar New York apabila 23 botol Cristal muncul secara tiba-tiba. Botol-botol itu telah dilaporkan dibayar oleh seorang "lelaki misteri dari Malaysia" yang didakwa merupakan pemberian Jho Low.
13. Menyambut hari jadinya dengan mewah di Las Vegas, di mana Megan Fox diterbangkan secara khas untuk berparti bersamanya
Terdapat sumber mengatakan Jho Low menyambut hari jadinya yang ke 28 secara besar-besaran selama empat hari di hotel mewah di Las Vegas iaitu Ceasar's Palace. Pelakon seksi, Megan Fox telah diterbangkan khas ke Las Vegas untuk menemani Jho Low dan berparti bersamanya.
Bersempena dengan majlis hari jadinya, kolam renang Ceasar's Palace dihiasi dengan beberapa ekor singa dan harimau yang diletakkan di dalam sangkar khas serta wanita-wanita cantik berbikini. Jho Low turut membeli 120 botol minuman keras jenama Cristal semasa majlis tersebut.
14. Pernah menetap di sebuah pangsapuri mewah, Park Imperial di New York dengan kadar sewa $100,000 sebulan (RM371 ribu), yang juga merupakan rumah penginapan Daniel Craig dan P. Diddy
Menurut sumber dalaman, Jho Low menetap di sebuah pangsapuri mewah yang mempunyai pemandangan indah Central Park dengan kadar sewa $100,000 sebulan (RM371 ribu) di Park Imperial, di West 56 Street, yang merupakan rumah penginapan kepada pelakon James Bond, Daniel Craig dan Sean "P. Diddy" Combs.
Sumber juga mengatakan Jho tidak akan ke mana-mana tanpa sekurang-kurangnya seorang pengawal peribadi.
15. Membawa masuk Ludacris, Busta Rhymes, Red Foo, dan Swizz Beats ke Malaysia untuk Konsert Perpaduan 1Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 2013
Lebih 80,000 menghadiri Konsert Perpaduan 1Malaysia di Pulau Pinang, yang berjaya mengumpul dana RM5 juta untuk tujuan kebajikan.
Jutawan tempatan, Jho Low yang membawa masuk bintang-bintang hip hop dari Amerika Syarikat seperti Ludacris, Swizz Beatz, Busta Rhymes dan Red Foo dari LMFAO, berkata, konsert itu adalah untuk "keamanan, perpaduan dan kemakmuran."
16. Menghabiskan sejumlah $2 juta dolar (RM7.4 juta) dalam lamaran perkahwinan terhadap buah hatinya, Elva Hsiao di Hotel Atlantis, Abu Dhabi pada 2012.
Elva bagaimanapun menolak lamaran tersebut.
Parachuters turun dari langit membawa hadiah mutiara, orkestra dimainkan di sekitar taman Hotel Atlantis, manakala langit malam di Abu Dhabi diserikan dengan letupan bunga api berbentuk hati, mengisytiharkan betapa sayangnya Jho terhadap Elva.
Lamaran mewah itu turut difilemkan oleh sebuah syarikat acara profesional. Walau bagaimanapun, Elva tidak menerima lamaran daripada Jho itu.
17. Menubuhkan Jynwel Capital, sebuah firma penasihat dan pelaburan ekuiti antarabangsa yang berpusat di Hong Kong bersama adiknya, Szen Low
Jynwel Capital merupakan sebuah firma pelaburan dan penasihat ekuiti antarabangsa. Mereka memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi di seluruh dunia dalam pelbagai sektor sasaran termasuk: media dan hiburan, penggunaan dan peruncitan, tenaga dan sumber, hartanah dan hospitaliti, logam berharga, komoditi dan infrastruktur.
Selain itu, Jynwel Capital juga mempertimbangkan pelaburan yang berpotensi untuk menghasilkan sinergi dengan portfolio mereka yang sedia ada.