5 Hidangan Tradisional Selangor Yang Sedap Anda Boleh Cuba
Selangor ada makanan tradisional ke?
Jika di Pulau Pinang makanan yang menjadi identiti di negeri itu ialah Nasi Kandar, Char Kuey Teow dan Laksa Penang. Tetapi pernahkah kita terfikir apakah makanan tradisi di Selangor pula?
1. Nasi Ambeng
Nasi Ambeng merupakan antara hidangan yang terkenal dalam kalangan orang Selangor. Asal-usul hidangan ini adalah dari Jawa.
Hidangan ini biasanya boleh dijumpai di majlis-majlis sambutan ataupun perayaan seperti majlis kenduri kahwin, bulan Ramadan dan Hari Raya.
Disamping dihidangkan bersama daun pisang, hidangan ini juga mempunyai pelbagai jenis makanan di dalamnya. Kebiasaannya hidangan ini mengandungi nasi putih, mi goreng, sambal tempeh, ayam goreng dan ikan masin.
2. Wadai Kipeng
Hidangan ini merupakan hidangan tradisional bagi suku kaum Banjar. Dalam bahasa orang Banjar, 'Wadai' membawa maksud 'kuih' manakala 'Kipeng' merujuk kepada kepingan.
Dalam tradisi masyarakat Banjar, telah menjadi tradisi oleh masyarakat Banjar untuk menghidangkan Wadai Kipeng pada majlis kesyukuran mereka.
Untuk menyediakan hidangan ala bubur ini, bahan yang perlu ada ialah tepung pulut, kelapa, gula melaka, gula pasir dan beberapa helai daun pandan. Makanan ini sesuai untuk dihidangkan sebagai pencuci mulut.
3. Pecal
Pecal boleh dikatakan sebagai salad versi tempatan dan hidangan ini juga berasal dari Jawa. Hidangan ini juga merupakan pembuka selera biasa yang boleh didapati di mana-mana sahaja di Selangor.
Dikenali sebagai ulam tradisional Jawa, hidangan ini terdiri daripada sayur-sayuran yang ditambah dengan kuah kacang yang juga boleh dihidangkan bersama Ketupat dan Lontong.
Penyediaan dalam membuat Pecal adalah sangat mudah dan anda boleh mencubanya di rumah pada bila-bila masa sahaja. Bahan-bahan utama untuk menyediakan hidangan ini ialah kacang tanah untuk membuat kuah, tauhu, taugeh, kacang panjang dan timun.
4. Sambal Taun
Dikenali sebagai Sambal Taun atau Sambal Tahun, hidangan unik ini juga terkenal dalam kalangan rakyat di Selangor.
Hidangan ini telah dibawa oleh orang Jawa yang telah berhijrah ke sini pada masa silam. Sejak itu, Sambal Taun telah menjadi makanan tradisional di Selangor.
Hidangan ini dikatakan pedas kerana jumlah cili sedikit banyak digunakan dalam proses penyediaannya dan kerana itulah hidangan ini dikategorikan sebagai sambal.
Hidangan ini juga dilengkapi dengan protein seperti kerang, paru-paru lembu atau ikan bilis, mengikut pilihan masing-masing. Bahan-bahan lain yang diperlukan untuk melengkapkan hidangan ini ialah bawang merah, bawang putih, santan, minyak, asam jawa, secubit garam dan gula.
5. Kuih Bakar
Kuih Bakar merupakan sejenis kuih yang kaya dengan rasa pandan yang manis, lembap dan padat dibakar dengan sempurna. Hidangan ini boleh dihidangkan pada bila-bila masa sama ada untuk sarapan pagi atau minum petang.
Untuk mengekalkan keunikan dan kelembapan kuih, bahan yang diperlukan ialah pati pandan asli dari daunnya, tepung gandum, tepung beras, sedikit santan, telur, bijan untuk topping dan semestinya gula dan garam untuk memberi rasa.
Bukan sahaja mudah untuk dibuat, kuih ini juga mudah untuk dijumpai di mana-mana di sekitar Selangor. Namun begitu, perlu diingat hidangan ini tidak boleh dimakan selalu kerana kandungan gulanya agak tinggi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!