Ini 7 Cara Saya 'Struggle' Untuk Hidup Dalam Negara Barang Serba Naik Ini
Semuanya naik. Kita tak kan nak turun pulak?
Naik naik naik!
Itulah perkataan yang sering kita dengar sejak akhir-akhir ini. Harga petrol naik, harga minyak masak naik. Bila dah jadi macam ni, confirmlah harga barang pun akan naik. Betul tak?
Apabila semua benda naik, taraf hidup pun makin naik tetapi gaji belum tentu akan naik. Mungkin bagi mereka yang bergaji besar tidak begitu terkesan dengan perkara ini. Tetapi bagaimana pula mereka yang bergaji kecil. Apakah perkara yang boleh dilakukan untuk meningkatkan taraf hidup?
Setiap orang mempunyai cabaran hidup berbeza-beza. Tetapi setiap orang boleh mengubah taraf hidup mereka. Bagaimana? Mari kita ikuti 7 cara lelaki ini.
Susah benar nak komen tentang kenaikan harga. Ia suasana yang amat-amat buat kita menyampah dengan apa alasan yang diberi. Hakikatnya nak tak nak kena beli juga minyak. Sama ada minyak kereta atau minyak masak.
Yang geramnya, asal menyokong dikata macai kerajaan. Asal tidak, ia terus dituduh sebagai pencacai pembangkang. Label-label begini semakin sudah tidak digemari lagi oleh generasi hari ini. Anak muda (bawah umur 40 tahun) lebih cenderung untuk memikirkan bagaimana mahu hidup berbanding bising-bising namun tidak berbuat apa-apa.
Kematangan kita diuji dengan perkara yang bertindan-tindan. Sudahlah gaji kecil, kenaikan tahunan nak dapat 10% dari gaji pun 100 tahun sekali, syarikat pula melebar sayap, banyak pelaburan, duit banyak keluar, kerja pula semakin banyak, nak buat 2-3 kerja sekali bos pula tak kasi, internet di office kena block dan sebagainya.
Ya Tuhan inilah negara yang sedang kita diami hari ini.
Asasnya ialah kita perlu juga hidup, sama ada hidup melarat ikut sahaja apa yang mereka kata, atau hidup melawan dengan kebijaksanaan.
Semua orang ada 24 jam yang sama. Semua orang juga ada kehidupan. Cuma boleh nampak beza orang itu ini. Kenapa yang itu boleh begitu, kenapa yang ini masih begini. Baik, ini beberapa perkara yang saya boleh belajar dalam tempoh beberapa tahun saya struggle untuk hidup dalam negara barang naik ini.
1. Mula berniaga dengan membuat bisnes trading
Yeah, nampak sahaja macam susah, namun ia sememangnya sangat mudah untuk dibuat. Semasa saya bertugas di Kelantan pada tahun 2007-2010, gaji saya lepas tolak macam-macam termasuk fikir nak kena sedia duit setiap kali balik Bangi atau Mentakab, adalah dalam 100-200 sahaja baki.
Jadi saya beli tudung, narita, tikar, kaftan dan batik sutera setiap kali gaji dan bawa balik. Awal dahulu di Facebook tidak berapa berjaya untuk menjual. Saya banyak letak di wkhwm.blogspot.com dan ia berjaya.
Jualan paling tinggi waktu itu ialah RM19,000 sebulan. Kahkah, kau ada? Hanya rolling sekitar RM1,000 duit gaji sahaja.
Selepas itu, siap berjaya daftar SSM dengan nama Afwaz Trading. Dan kini diuruskan oleh adik yang buat trading tudung Akel dari Turki.
Saya masih tidak berhenti kerja sehingga hari ini.
2. Bisnes biar yang membantu orang
Walau kau tidak berkenan, ia mungkin menjana kewangan. Sebagai contoh kita ambil bagaimana Tan Sri Dato’ Dr. Lee Kong Chian mengusahakan perniagaannya.
Anak kelahiran tanah besar China ini kemudiannya datang ke Singapura dan membuka kilang getah di Malaysia. Pada tahun 1928, beliau membuka kilang getah pertama di Muar, yang mana selepas 3 tahun barulah kilang tersebut beroperasi.
Pada waktu itu, negara kita ini memulakan pertanian tanah getah. Dan, Tan Sri Lee telah membuka Lee Rubber dengan mengeluarkan ‘rubber band’ atau getah gelang yang biasa kita buat untuk mengikat barang. Ikat rambut pun boleh.
Sehingga hari ini, syarikat tersebut dikatakan telah bernilai lebih RM1.2 Billion. Dan getah gelang tersebut masih ada di setiap kedai runcit, pasaraya dan semua kedai di seluruh negara.
Di Singapura, terdapat Muzium untuk Tan Sri, dan ia menjadi kenangan besar buat generasi hari ini bagaimana Tan Sri dan keluarganya membuka bisnes hanya untuk membantu orang lain memudahkan kerja-kerja seharian.
Sama juga dengan produk seperti Tupperware, beg plastic, bento, dan lain-lain lagi. Ingat kawan, bisnes adalah tentang membantu keperluan orang. Bukan untuk apa yang kita minat dan suka semata-mata.
Untuk hari ini yang semakin mencabar, fikirkan bagaimana nak bantu orang lain dari mengelak menggunakan minyak masak yang banyak atau terpaksa keluar untuk membeli barangan dan mengisi minyak kenderaan.
Oleh sebab itu kehadiran para runner dan kawan-kawan yang menyediakan makanan dari kedai dan boleh membuat penghantaran akan membantu kalian. Kan?
3. Bisnes dan kerja perlu seiring dan tidak mengganggu antara satu sama lain
Jika kita pilih untuk bekerja dan dalam masa sama mahu buat kerja sampingan, maka kalian perlu tetapkan disiplin yang cukup tinggi untuk jaga kedua-duanya serentak.
Waktu kerja, perlu kerja dengan sebaiknya. 8.00 pagi hingga 5.30 petang waktu kerja, jadi pilih waktu rehat sahaja untuk melakukan kerja-kerja lain. Tidak boleh langsung mengganggu kerja semasa dengan kerja sampingan. Buat jadual dan susun sebaik-baiknya.
Kebiasaannya kerja sampingan akan menjadi lebih disukai kerana tidak punya arahan, tidak punya KPI namun ia beri pendapatan tunai yang boleh nampak depan mata. Berbanding duit gaji yang dapat segedebuk dan habis selepas bersalam dengan bank-bank.
Oleh itu, kita akan menjurus kepada keseronokan di tempat kerja sampingan berbanding kerja sebenar. Relaks kawan, kerja sebenar tetap kena ada rasa bersungguh dan dibuat dengan betul. Dan kalian perlu beringat, jika kerja sampingan sudah boleh menampung kehidupan, fikir baik-baik untuk tumpu 200% di situ dan tinggalkan kerja sebenar. Seboleh-bolehnya bertahan lebih dari 2 tahun sebelum buat keputusan untuk berhenti kerja.
4. Pergi belajar, tambah ilmu dan tingkatkan kemahiran
Waktu susah begini, pergi belajar dan buat pelaburan dengan hadir ke kelas-kelas, bukan mencampak duit ke dengan membuka kedai / gerai untuk dicuba dengan gaya try and error.
Jadi kebiasaan, bisnes sebegini akan tutup kurang dari 3 bulan. Apabila tidak ada pengajian, tidak ada ilmu dan tidak langsung mengambil berat tentang kelas-kelas dan pengetahuan dalam asas bisnes, memang bisnes akan kelaut.
Kalian perlu ingat, pengalaman menguatkan ilmu. Jika pengalaman hanya bergantung sesama sendiri. Ia boleh jadi sangat rapuh apabila ada badai yang membantai.
5. Hati kena kental
Jiwa kena keras. Bab ini yang menguatkan diri ialah dengan banyak membaca dan membuat kajian. Apabila kita ada semuanya dalam kepala, amat mudah untuk kita membuat sesuatu perkara dengan baik.
Perbanyakkan membaca tentang industry apa yang sedang naik, dalam tempoh beberapa tahun apa yang akan masuk ke dalam negara dan apa yang akan kita alami. Semuanya perlu ada dihujung jari supaya kita alert dan sentiasa bertenang dalam merancang sesuatu perkara.
Untuk bulan pertama hingga bulan ke-6, biasanya kita akan berada di paras ‘storm’ dalam bisnes. Banyak perkara nak diubahsuai, ada yang sukar nak dilakukan, dan krisis antara kerja sebenar dan kerja sampingan akan sentiasa membelenggu diri. Oleh itu, banyak-banyak membaca dan tenangkan diri dengan banyak bergaul dengan kawan-kawan yang seiring pemikirannya.
Ia bukan sekadar membantu. Ia juga dapat menyelesaikan masalah-masalah dengan sebaik-baiknya.
Ingat kawan, buku sesuatu yang menjadi ubat dikala kita sedang dalam kesusahan. Berkawanlah baik-baik dengan makhluk tersebut.
6. Jadi promoter bukan salesman
Banyak-banyak bersembang dan bermedia sosial dengan membuat ulasan tentang produk. Bukan menjual semata-mata. Jika kita banyak menjual, kebanyakkan kawan-kawan dan sesiapa sahaja akan menunjukkan sifat tidak suka dan tidak berminat.
Oleh itu, mulakan diri menjadi promoter. Cerita tentang produk, cerita tentang pembangunan diri dan kredibiliti apa yang kita sudah capai setiap hari.
Gunakan beberapa teknik pemasaran seperti copy-writing, soft sell dan story telling. Ia jauh lebih memberi kesan dari menjual-jual tanpa ada ilmu pengetahuan.
7. Fikir dan buat perkara yang kita boleh kawal
Akhir sekali, fikir dan buat perkara yang kita boleh kawal sahaja. Yang tidak, terus letak tepi. Kita boleh kawal diri kita dari menggunakan segala benda yang telah naik harga. Yang naik akan terus naik, kita pula kena teruskan hidup walau macam-macam hal orang tidak suka.
Kita punya kehidupan, kita yang perlu buat keputusan. Tidaklah nanti apabila sudah bersusah-susah, kita menyalah-nyalah antara satu sama lain.
Kita boleh buat bisnes, berniaga dan lakukan yang baik-baik untuk bantu isi rumah. Yang mereka nak naikkan harga dan mempermainkan hati kita bolehlah kita tukar semasa pilihanraya nanti. Itu juga adalah sesuatu perkara yang kita boleh kawal. Kan?
Jadi kawan-kawan, berhenti merungut. Kita jalan terus dan bangunkan ekonomi isi rumah. Jika isi rumah terjaga duit masuk dan duit keluar, masyarakat juga semakin ok. Dan kita semua hidup dengan cukup baik untuk terus dapat besarkan anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar ini.
Kawan, kekal positif dan jalan terus!
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!