Tenat Dan Tak Ada Selera Makan, Badak Sumbu Sumatera Terakhir Di Malaysia Ini Bakal Pupus
Moga ada sinar buat Iman!
Keadaan badak sumbu Sumatera terakhir semakin membimbangkan
Memetik laporan Astro Awani, keadaan badak sumbu betina Sumatera terakhir di Malaysia yang turut dikenali sebagai Iman semakin tenat berikutan kanser yang dihidapinya.
Bukan itu sahaja, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata berat badan Iman susut mendadak sejak beberapa tahun lalu.
"Iman mempunyai tumor di dalam uterusnya di mana kita kesan lima tahun lalu sekitar Mac 2014. Iman tidak berselera untuk makan dan berat badannya menurun secara drastik iaitu 476 kg, kurang 44 kg daripada berat badannya bagi tempoh beberapa tahun yang lalu.
"Masalah ketumbuhan pada uterus badak sumbu berkenaan semakin membesar menyebabkan haiwan itu dijangkakan mempunyai beberapa minggu lagi untuk hidup," katanya.
Tambahnya lagi, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan Iman bagaimanapun, pihaknya perlu bersedia untuk kehilangan badak betina itu
"Pihak Jabatan Veterinar telah berusaha membuang pembesaran ketumbuhan itu dan pembedahan dilakukan, tetapi ia tetap berbahaya kerana menyebabkan ia banyak kehilangan darah.
"Selain itu, terdapat beberapa badak sumbu jantan di Indonesia, berumur antara 14 hingga 18 tahun yang boleh diambil benihnya untuk dibiakkan dengan telur Iman yang disimpan," katanya lagi.
Untuk pengetahuan, Iman merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia
Pasangan Iman iaitu Tam mati pada 27 Mei lalu, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman. Difahamkan, buah pinggang kanan badak jantan itu terjejas dengan calculi-uremia yang teruk yang menjejaskan semua organ dan penghasilan darah.