Zarith Sofia Beritahu Dia Sangkakan Beruang Terancam Itu Anjing Pada Mulanya
Niatnya hanya untuk melindungi.
Kecoh satu Malaysia apabila seorang penyanyi tempatan dikatakan membela seekor beruang di dalam rumahnya
Penyanyi tersebut, Zarith Sofia atau lebih mesra dengan panggilan Pia didapati membela seekor beruang terancam yang dikenali sebagai Beruang Matahari di kondominiumnya di Desa Pandan.
Setelah berita ini tersebar, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertindak menahan Pia selepas membuat pemeriksaan mengejut di rumahnya.
Pia ditahan kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran PERHILITAN di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)
Pia yang merupakan bekas peserta program realiti 'Rockanova' berkata dia tidak mempunyai apa-apa niat buruk terhadap haiwan tersebut.
Malah, dia sebenarnya menemui anak beruang itu dalam keadaan lemah di kawasan Bukit Ampang bulan lalu.
"Aku jaga macam bayi" - Pia
Menerusi Instagram, Pia menjelaskan bahawa niatnya hanya untuk melindungi haiwan berkenaan.
"Tidak terdetik di hati untuk menyakiti, niat di hati nak melindungi tapi ini takdir ilahi. Takpe Bruno, kita pasti berjumpa lagi. Aku bukan jenis bangun pagi ke kelab malam cari rezeki tapi kerana kau, aku jaga macam bayi sekali lagi ini takdir ilahi. Semoga Bruno dirahmati," tulis Pia.
Pia bagaimanapun menyangkakan haiwan itu merupakan seekor anjing pada mulanya dan merancang untuk menghantarnya kepada pihak yang berkaitan selepas ia pulih
“Sebenarnya, saya jumpa anak beruang itu di tepi jalan dalam keadaan lemah pada waktu malam yang pada mulanya saya sangkakan seekor anjing," katanya.
Pia akhirnya mengaku salah dan memohon maaf
"Buat rakyat Malaysia yang dihormati, terima kasih atas segala teguran yang diberi. Harap saya dapat memperbaiki diri. Moga lebih berhati-hati. Ini juga takdir Ilahi kerana saya insan sedar diri dan juga dengan rendah diri, saya pohon sepuluh jari, maafkanlah kekhilafan saya ini," tulis Pia lagi.