Bayi Berusia 2 Hari Ditemui Dalam Beg Kertas. Apa Jalan Penyelesaian Kes Buang Bayi Ini?
Bayi-bayi ini sebenarnya boleh diselamatkan.
Seorang bayi perempuan baru lahir dan masih bertali pusat ditemui di dalam beg kertas yang digantung di cermin sisi sebuah kereta di Ipoh, Perak
Bayi tersebut ditinggalkan di hadapan sebuah rumah pangsa di Jalan Hospital pada jam 12.15 tengah malam semalam, 4 Julai, seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian.
Bayi itu ditemui dalam keadaan kesejukan dan kelaparan oleh seorang lelaki yang menyedari beg kertas itu tergantung di kereta tersebut.
Bayi perempuan yang berusia baru 2 hari itu dipercayai ditinggalkan pada jam kira-kira 8.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias mengesahkan kejadian itu dan bayi berkenaan telah pun ditempatkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
Tidak dapat dinafikan kes pembuangan bayi semakin hari semakin berleluasa dalam negara ini
Sehingga Julai 2017, sebanyak 697 kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku di seluruh negara mulai 2010 seperti yang dilaporkan akhbar Utusan.
Daripada statistik tersebut, Selangor telah mencatatkan jumlah paling banyak kes pembuangan bayi di negara ini diikuti Sabah dan Johor masing-masing dengan jumlah kes sebanyak 84 kes, Kuala Lumpur 65 kes, dan Sarawak 49 kes, yang dipercayai melibatkan remaja berumur 18 sehingga 25 tahun.
Kebanyakan kes pembuangan bayi berlaku disebabkan oleh faktor-faktor utama seperti berikut:
- Kekurangan didikan agama: ia menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan, lalu terlibat dalam gejala negatif seperti pergaulan bebas.
- Pengaruh rakan sebaya: rakan-rakan yang negatif mempengaruhi remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas.
- Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum: oleh kerana masyarakat seringkali akan menghina akan mereka yang telah terlanjur dan mempunyai anak luar nikah, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya.
Namun begitu, kes pembuangan bayi ini boleh dikurangkan dengan kewujudan peti pelindung bayi atau Baby Hatch di negara kita di bawah Yayasan OrphanCare
Program Baby Hatch yang diperkenalkan pada tahun 2009 itu telah berjaya menyelamatkan 202 bayi daripada dibuang, termasuk dilahirkan warga asing secara luar nikah.
Mempunyai Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom sebagai penaung, Yayasan OrphanCare bukan hanya menerima bayi terbuang, bahkan turut menawarkan perlindungan kepada bakal ibu sehingga selamat bersalin.
Yayasan ini turut menyediakan khidmat pengambilan anak angkat, di mana akan diadakan kursus terlebih dahulu buat bakal para ibu bapa angkat sebelum mereka dibenarkan untuk membawa pulang anak angkat ke rumah masing-masing.
Bukan itu sahaja, Yayasan OrphanCare yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini juga menawarkan khidmat nasihat dan kaunseling buat wanita yang mengandung namun tidak mampu menjaga bayi tersebut
Bahkan, sepanjang tahun 2009 hingga tahun ini, seramai 120 wanita mengandung itu memilih untuk membesarkan bayi mereka sendiri daripada menyerahkannya sebagai anak angkat, dengan bantuan dari yayasan tersebut.
Kemudahan yang ditawarkan Yayasan OrphanCare itu memberi sinar baru bagi bayi-bayi ini untuk meneruskan hidup sama ada bersama keluarga angkat masing-masing, atau ibu kandung mereka.
Terdapat tiga cawangan Baby Hatch dibawah kendalian Yayasan OrphanCare di seluruh Malaysia:
1. Petaling Jaya, Selangor Baby Hatch
No 54, Jalan 5/60
46000 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia
Tel: +603 7770 1900
Fax: +603 7780 1900
24 jam talian sokongan: +6010 283 0528
Email: [email protected]
2. Johor Bahru, Johor Baby Hatch
46, Jalan Bakar Batu
Taman Sentosa
80150 Johor Bahru
Tel: +607 336 2965
24 jam talian sokongan: +6019 726 2368
3. Sungai Petani, Kedah Baby Hatch
4400 Lorong Serampang 2/1
Taman Ria Jaya, Sungai Petani
08000 Kedah Darul Aman
Tel: +604 442 3900
Pada masa yang masa, Yayasan OrphanCare turut bekerjasama dengan beberapa Hospital KPJ di seluruh negara yang turut menyediakan peti pelindung bayi
Masyarakat juga perlu tahu dan ambil perhatian bahawa ianya bukanlah satu jenayah untuk meletakkan bayi dalam Baby Hatch
Berbeza dengan perbuatan membuang bayi dimana ianya dianggap sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh. Ini bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.
Kes bunuh akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.