Belum Lagi Reda Isu, Ada Ejen Kahf & Artis Teruskan Provokasi
Pentingnya menjaga sensitiviti pengguna.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Di dalam ketegangan antara netizen Malaysia dan sebuah jenama penjagaan diri ada lagi kontroversi baru telah muncul
Kahf semalam telah mengeluarkan kenyataan rasmi permohonan maaf, tetapi terdapat beberapa individu yang mengendalikan siaran langsung telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Terdapat provokasi yang telah dilakukan oleh hos tersebut dengan menggunakan pin komen dan kini telah tersebar di Threads.

Hos itu didakwa secara sengaja mencari fasal, tidak sensitif dan seolah-olah masih mahu meneruskan sindiran secara terang-terangan.
Komen itu juga menunjukkan provokasi tentang bola sepak Malaysia.
Bukan itu sahaja, hos wanita tersebut juga menunjukkan video bola sepak yang memerli penonton dari Malaysia dan menjelirkan lidah sebelum menamatkan siaran langsungnya.
Tindakan ini telah menyebabkan pengguna tempatan yang sudah tawar hati berasa lebih marah atas perbuatan berkenaan.

Seorang artis dari Indonesia turut menambah provokasi
Dalam video yang dimuat turun oleh artis itu, dia cuba menjawab isu segelintir rakyat Malaysia yang mahu memboikot produk-produk Indonesia yang terjual di Malaysia.
"Bagaimana boleh boikot, negaranya itu cuma 34 juta orang. Sedangkan kami ada lebih daripada 290 juta jiwa.
"Jika 34 juta orang Malaysia bersatu untuk boikot produk Indonesia, ia juga sama sekali tidak akan terkesan,
"Kalian sudah kalah, bahkan dari awal nenek moyang dipimpin orang yang berasal dari Malaysia," katanya.

Jadi mengapa produk Indonesia mahu masuk ke Malaysia?
Di dalam komen perkongsian video tersebut, persoalan mengapa produk Indonesia selalu masuk ke Malaysia dijawab dengan Purchasing Power Parity (PPP).
Dikongsikan oleh @faizrazakdesign, PPP adalah cara kita mengukur nilai duit sebenar untuk membandingkan dua buah negara yang berbeza.
Bukan hanya melihat kepada penukaran mata wang semata. Jika dibandingkan dengan jumlah, Indonesia nyata mempunyai lebih ramai rakyat untuk membeli.
Data GDP per kapita Malaysia PPP dijangka cecah AS$44,000 bersamaan 148% lebih tinggi daripada Indonesia (AS$17,746). Jika dilihat dari sudut purata gaji bulanan, pekerja Malaysia dapat hampir AS$1,000 manakala di Indonesia cuma AS$195. Beza lebih 400%.

Perkara ini telah memberi impak yang sangat besar terhadap harga barang. Pelanggan di Malaysia mempunyai banyak lebihan wang untuk dibelanjakan.
Jadi jenama boleh menjual barang pada harga yang lebih tinggi di Malaysia. Sebagai contoh, pencuci muka Kahf 100 ml dijual dengan harga AS$2.30 (42,000 rupiah) manakala di Malaysia dijual dengan harga AS$5.36 (RM21.90). Produk yang sama tetapi 130% lebih mahal.
Menerusi komen-komen, ramai menyatakan rasa tidak berpuas hati dan mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf yang dikeluarkan oleh jenama tersebut. Ramai merasakan Kahf tidak jujur kerana wakil jualan mereka masih bersikap sedemikian.
Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya pemantauan terhadap sesuatu syarikat dan menjadi pengajaran buat penggiat industri untuk lebih peka dan berhati-hati dalam menjaga emosi dan sentimen pengguna tempatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via