Tular Warga Asing Jual Jagung Keju Depan KLCC, DBKL Tampil Jelaskan Video Lama
Rata-rata netizen tidak berpuas hati dan mendakwa wujud layanan berbeza antara peniaga tempatan dan warga asing.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tindakan seorang warga asing yang didakwa menjalankan perniagaan jagung keju secara terbuka di kawasan sekitar KLCC mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan
Menurut laporan Kosmo!, menerusi satu hantaran yang tular di Threads, individu berkenaan dilihat berniaga di lokasi tumpuan pelancong dan orang ramai tanpa diketahui sama ada memiliki permit sah atau sebaliknya.
Situasi itu mengundang pelbagai reaksi apabila ramai mempersoalkan bagaimana aktiviti tersebut boleh berlangsung secara terbuka tanpa sebarang tindakan yang kelihatan daripada pihak berkuasa.
"Selamba berniaga jagung cheese depan mata, macam langsung tak takut kena tindakan. Ramai tertanya-tanya, mereka ini memang kebal atau bagaimana?" tulis pemilik hantaran berkenaan.

Menurutnya, kehadiran warga asing yang semakin ketara di sekitar ibu negara turut menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai tahap pemantauan pihak berkuasa.
"Ada yang kata suasana sekarang dah macam berada di negara lain. Ke mana-mana pergi terutama sekitar Kuala Lumpur, terlalu ramai warga asing sampai ramai mula tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati dan mendakwa wujud layanan berbeza antara peniaga tempatan dan warga asing
"Mana DBKL? Sebab selalu juga nampak video penguat kuasa rampas jualan orang tempatan terutama Melayu," soal seorang pengguna.
Seorang lagi netizen mendakwa peniaga tempatan sering berdepan tindakan tegas, manakala warga asing dilihat bebas menjalankan perniagaan tanpa gangguan.
"Orang asing boleh berniaga ikut suka hati, ada permit atau tidak. Orang tempatan siap kena halau, kena maki dan kena hentam. DBKL? Fikir sendiri lah," dakwanya.
Walau bagaimanapun, setakat ini status sebenar peniaga terbabit termasuk sama ada memiliki lesen atau permit yang sah masih belum dapat dipastikan.
Difahamkan, pihak media kini sedang mendapatkan maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaan yang tular di media sosial itu.
Susulan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil memberikan penjelasan berhubung rakaman yang menjadi perhatian ramai tersebut
Menurut DBKL, hasil semakan mendapati video yang tular itu sebenarnya merupakan rakaman lama dan tidak menggambarkan keadaan semasa di lokasi berkenaan.
"Video tersebut merupakan rakaman lama dan tidak menggambarkan situasi semasa. Berdasarkan rekod rakaman CCTV DBKL, tiada sebarang aktiviti perniagaan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut di kawasan berkenaan sepanjang tahun ini," katanya.
DBKL menjelaskan, perbandingan visual antara rakaman tular dan keadaan semasa mendapati terdapat perbezaan ketara di lokasi tersebut.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, video yang tersebar hanya memaparkan satu papan tanda, sedangkan ketika ini terdapat dua papan tanda di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, DBKL memaklumkan pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan Parlimen Bukit Bintang termasuk KLCC bagi membanteras aktiviti penjajaan haram.
Bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, sebanyak 2,108 tindakan penguatkuasaan telah diambil di kawasan Imbi melibatkan pelbagai kesalahan.
Daripada jumlah tersebut, 1,795 notis kompaun telah dikeluarkan, selain 39 notis penguatkuasaan dan 274 sitaan berkaitan halangan struktur serta penjajaan tanpa kebenaran.
Sehubungan itu, DBKL mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat yang tular di media sosial.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum dipastikan kesahihannya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


